NGO Kunjungi Sang Riang
NGO Kunjungi Sang Riang
TRIANG: Kagum dengan pencapaian diperoleh Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, wakil dari agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) meluangkan masa mengunjungi rumah kebajikan itu.
Tujuan utama kunjungan adalah bagi mempelajari teknik digunakan pihak pengurusan rumah kebajikan berkenaan dalam menguruskan penjagaan warga emas dan mereka yang kurang bernasib baik dengan sempurna.
Lawatan berkenaan diatur melalui pegawai kerja sosial perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Azhar Ahmad dan turut disertai pegawai dari Rumah Jagaan Nur Hasanah dan Persatuan Kebajikan Mahmuda Malaysia.
Pengerusi rumah kebajikan itu, Yap Yoke Moey berkata, kunjungan terbabit membuka ruang kepada mereka berkongsi cara untuk menguruskan rumah orang tua dan kaedah menjaga mereka yang mengalami masalah mental.
“Kita sangat mengalu-alukan kunjungan seperti ini kerana ia adalah satu cara mudah untuk berkongsi pengalaman dalam menguruskan rumah kebajikan.
“Melalui perkongsian maklumat ini juga, diharapkan kita dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan ditawarkan kepada penghuni di rumah kebajikan yang kita sedang uruskan,” katanya.
Kunjungan itu bukan sahaja memberi peluang kepada semua pihak mempelajari benda baru, tapi dapat juga merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dan NGO yang banyak terbabit dalam kerja kebajikan.-SAHIH