NGO DAN ANAK MUDA TURUT BERPERANAN MEMERANGI ISU PENAGIHAN DADAH DI PAHANG
NGO DAN ANAK MUDA TURUT BERPERANAN MEMERANGI ISU PENAGIHAN DADAH DI PAHANG
TEMERLOH: Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk NGO kerdil di Pahang boleh berperanan besar untuk digerakkan bagi membenteras isu penagihan dadah di kalangan anak muda bersama dengan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP).
Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit mahukan semua NGO berperanan membantu golongan ibu atau isteri yang berjuang sendirian menanggung diri dan anak-anak akibat daripada ketua keluarga berada di pusat pemulihan.
“Sebagai rasa tanggungjawab keluarga golongan ini perlu diberi bantuan seperti bakul makanan atau barang keperluan lain seperti lampin, susu bayi dan sebagainya hasil sumbangan orang ramai.
“Selama hampir dua tahun negara bergelut dengan wabak Covid-19, pelbagai kes melibatkan masalah sosial berlaku dalam kalangan masyarakat seperti isu bunuh diri, hilang pekerjaan dan masalah rumah tangga serta isu penagihan dadah turut tidak terkecuali,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melepaskan kumpulan konvoi bermotorsikal Program Ride To Rompin, Kelab 999 Malaysia bersama Skuad Anti Dadah Temerloh mulai 22 hingga 23 Oktober 2021, hari ini.
Katanya, perhatian serius semua pihak dalam menangani isu penagihan dadah ini segera ditangani kerana banyak memberi kesan negatif dan boleh meruntuhkan negara.
“Skuad Anti Dadah Temerloh yang begitu aktif dan prihatin sepanjang pandemik ini, mereka telah berhadapan dengan pelbagai kes yang sudah tentunya meruntun jiwa.
“Lebih menyayat hati, terdapat kes penderaan kanak-kanak yang akhirnya diketahui bahawa salah seorang ibu atau bapa mangsa merupakan seorang penagih,” katanya.
Katanya, NGO boleh berperanan dalam menangani masalah sosial amat penting kerana mereka begitu dekat dengan golongan sasaran dengan mengadakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada golongan sasar.
Pihak kerajaan atau agensi kerajaan perlu memainkan peranan mendekati NGO terlibat agar misi menjaga kebajikan rakyat berjaya dilaksanakan dan golongan sasaran mendapat manfaat.
“Semua Skuad Anti dadah Temerloh dan banyak lagi NGO lain sewajar diangkat sebagai wira kerana sangat peka dengan masalah masyarakat sekeliling.
“Saya juga menyarankan agar semua NGO ini membina kerjasama dengan agensi kerajaan agar lebih banyak isu dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.-SAHIH.