NEW YORK PUSAT KES JANGKITAN
Berita Global
NEW YORK PUSAT KES JANGKITAN
NEW YORK: New York yang pernah menjadi pusat wabak COVID-19 di Amerika Syarikat (AS), menyaksikan negeri itu merekodkan peningkatan kes jangkitan lebih 1,000 sehari, menurut pegawai tempatan pada Sabtu.
Angka itu tidak pernah disaksikan sejak 5 Jun, berdasarkan statistik diterbitkan Pejabat Gabenor Andrew Cuomo.
“Daripada 99,953 ujian dilaporkan semalam (Jumaat), 1,005 adalah positif,” kata Cuomo dalam hantaran dimuat naik di Twitter.
“Adalah penting masyarakat New York untuk terus mengamalkan tabiat asas yang boleh mendorong keupayaan melawan COVID-19 ketika kita sedang bergerak memasuki musim luruh dan selesema.
Kita akan terus memantau data secara rapat dan pastikan masyarakat New York dimaklumkan supaya mereka boleh membuat keputusan bijak untuk diri sendiri serta keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Secara keseluruhannya, situasi kesihatan di New York bertambah baik sejak kemuncak pandemik pada musim bunga.
Restoran di bandar New York yang sebelum ini terhad menjamu pelanggan dalam premis, kini dibenarkan untuk menyajikan makanan di luar bermula Rabu.
Namun, ia berdasarkan kapasiti yang dibolehkan iaitu pada kadar 25 peratus.
Keseluruhannya, AS pada Jumaat merekodkan tujuh juta kes jangkitan COVID-19 sejak pandemik itu tercetus.
Penyakit itu membunuh hampir 205,000 orang di negara itu, menurut angka dikeluarkan Universiti Johns Hopkins.
Sumber: AFP