NETANYAHU SEKAT MEDIA SOSIAL
NETANYAHU SEKAT MEDIA SOSIAL
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel dilaporkan cuba untuk menyekat media sosial ekoran tunjuk perasaan yang diadakan penduduk Israel berketurunan Palestin kerana membantah serangan rejim itu di Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza yang dikepung, menurut Agensi Anadolu.
Akhbar Israel melaporkan pada Ahad, Benjamin Netanyahu berusaha untuk menyekat media sosial semasa serangan di Gaza pada 10-21 Mei.
Menurut pegawai, Netanyahu mencadangkan sebanyak dua kali supaya media sosial disekat, tetapi syornya ditolak Peguam Negara Israel Avichai Mandelblit dan pihak pegawai keselamatan.
Netanyahu mengemukakan cadangan itu dengan alasan untuk menghalang kemungkinan berlakunya rusuhan, kerana mendakwa penduduk Israel berketurunan Palestin mahu menganjurkan tunjuk perasaan melalui TikTok.
Sementara itu, Walla News berkata bukan Netanyahu yang mengesyorkan untuk menyekat media sosial, sebaliknya beliau cenderung menyokong rancangan dicadangkan pihak pegawai keselamatan.
Sekurang-kurangnya 255 penduduk Palestin terbunuh, termasuk 66 kanak-kanak dan 39 wanita dan lebih 1,900 yang lain cedera dalam 11 hari serangan udara Israel di Semenanjung Gaza.
Serangan Israel di Tebing Barat sejak 13 April pula meragut sekurang-kurangnya 34 nyawa rakyat Palestin, lapor Agensi.
Rejim Israel menghentikan serangan susulan gencatan senjata yang dipersetujui pada 21 Mei dengan Mesir bertindak sebagai orang tengah.