NENEK 71 TAHUN MANGSA TERBAHARU LOVE SCAM
NENEK 71 TAHUN MANGSA TERBAHARU LOVE SCAM
MELAKA: Seorang wanita warga emas berusia 71 tahun kerugian RM18,000 selepas menjadi mangsa sindiket Love Scam menerusi laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan, berkata kejadian berlaku ketika mangsa berkenalan dengan suspek melalui Facebook pada 27 Mac lalu dan kemudian meneruskan hubungan itu menerusi aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata, dalam perkenalan mereka, suspek memberitahu kepada mangsa dia akan belayar menaiki kapal kargo untuk pergi ke Jepun kerana terbabit dengan projek membuat landasan kereta api.
Katanya, suspek kemudian memberitahu mangsa yang dia ditahan dan dibawa ke Pelabuhan Melaka serta meminta bantuan mangsa membuat bayaran bagi membebaskannya.
“Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek meminta bantuan anak saudaranya untuk membuat bayaran.
Patuh dengan arahan itu, anak saudara mangsa membuat tujuh kali transaksi pembayaran berjumlah RM18,000 ke tiga akaun bank berbeza yang diberikan suspek.
“Selepas pembayaran dilakukan suspek masih meminta wang daripada mangsa atas alasan suspek ditahan pihak kastam kerana membawa sejumlah wang yang banyak. Mangsa sekali lagi meminta bantuan anak saudaranya untuk membuat bayaran kepada suspek,” katanya.
Bagaimanapun, anak saudara mangsa tidak mengikut arahan itu dan memberitahu bahawa mangsa diperdaya, lapor BH ONLINE.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai PolisTanjung Minyak pada 15 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
“Justeru, kita meminta orang ramai berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta laman sosial supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
“Orang ramai disarankan memuat naik aplikasi ‘semak mule CCID’ melalui playstore untuk membuat semakan terhadap nombor telefon dan nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan,” katanya.