Nasib 56 pendaki ke balai polis
Nasib 56 pendaki ke balai polis
Hulu Selangor: Seramai 56 pendaki yang mencari keseronokan dengan memasuki kawasan Air Terjun Setinggi, Serendah, di sini, sebaliknya ditahan anggota Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Dalam operasi bermula jam10 pagi hingga jam 4 petang semalam, kesemua individu berusia lingkungan 19 hingga 33 tahun itu ditahan kerana memasuki kawasan air terjun berkenaan tanpa permit sah.
Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, operasi dilakukan sepasukan pegawai dan kakitangan Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor bersama polis susulan aduan terdapat pendaki melalui rumah penduduk untuk ke air terjun itu.
“Operasi ini adalah lanjutan dari rungutan penduduk yang mendakwa ramai pendaki menceroboh masuk ke kawasan Air Terjun Setinggi tanpa permit yang sah melalui kawasan kediaman mereka.
“Penduduk juga mendakwa pengunjung mengganggu kehidupan harian mereka dengan meletak kenderaan di tepi jalan rumah sehingga merosakkan paip air, tong sampah dan meninggalkan sampah merata-rata,” katanya tadi.
Ahmad Fadzil berkata, ketika negeri ini masih di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihaknya tidak mengeluarkan permit masuk bagi tujuan merentas hutan (hiking) atau lain-lain tujuan rekreasi.
Susulan itu, katanya, memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan).
“Kesemua 56 individu itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut,lapor HM online
“Orang ramai diharap supaya mematuhi peraturan yang sedia ada. Sebarang pertanyaan dan aduan bolehlah rujuk kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor atau Pejabat Hutan Daerah,” katanya.