NAJIB TERIMA KEPUTUSAN UMNO
NAJIB TERIMA KEPUTUSAN UMNO
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akur dengan keputusan UMNO untuk terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, beliau menggesa kerjasama yang diberikan UMNO harus ditambah baik dengan nilai penghormatan dan political consensus.
DATUK SERI NAJIB RAZAK
Beliau turut menggariskan beberapa implikasi yang akan diterima UMNO jika kerjasama dengan kerajaan PN tidak ditambah baik.
“Tetapi jika gesaan kerjasama untuk lebih saksama ini tidak dihormati, maka kemarahan akar umbi UMNO terhadap ketidakseimbangan dalam PN yang memuncak pada PRN Sabah akan terus membara.
“UMNO turut akan terpalit sama apabila ekonomi menjadi semakin parah, bantuan khusus Sabah yang amat diperlukan ketika ini masih tidak kelihatan, moratorium pinjaman yang berulang-kali digesa seluruh kepimpinan serta akar umbi tidak dilanjutkan, rancangan menyelamatkan negara tidak berkesan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, UMNO turut akan dipersalahkan apabila penjualan aset negara yang ditolak rakyat seperti penggabungan UEM Sunrise dengan Eco World serta penjualan FGV diteruskan walaupun dibantah UMNO berulang kali, tetapi tidak diendahkan.
GAMBAR HIASAN
Selain itu, beliau berkata, UMNO juga akan turut menerima kritikan apabila langkah kontroversial seperti beberapa individu tertentu tiba-tiba mohon darurat diisytiharkan tanpa persetujuan dan pengetahuan UMNO.
“UMNO dan Barisan Nasional (BN) turut dipersalahkan dengan persepsi layanan dwi-standard antara pemimpin kerajaan PN dan rakyat yang langsung tidak melibatkan pemimpin BN pun.
“Dan sudah tentu UMNO turut dipersalahkan jika keadaan COVID-19 tidak terkawal dan bertambah teruk walaupun kebanyakan kes ini berpunca dari kecuaian menjaga pusat tahanan, lokap, penjara dan pengendalian PATI yang ditahan di bawah kementerian yang bukan di bawah UMNO,” katanya.
Najib semalam, dilaporkan mengakui mencadangkan supaya BN menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dengan alasan untuk menstabilkan politik negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerjasama itu tidak membabitkan DAP.