“Naik Taraf Pili, Tubuh Skuad Bomba Komuniti – Penduduk Jengka Rayu Tindakan Segera”
“Naik Taraf Pili, Tubuh Skuad Bomba Komuniti – Penduduk Jengka Rayu Tindakan Segera”
JENGKA – Sempena sambutan Hari Bomba Sedunia yang bakal diraikan pada 4 Mei ini, penduduk Wilayah Jengka tampil menyuarakan kebimbangan terhadap tahap keselamatan kebakaran di kawasan mereka susulan beberapa insiden kebakaran yang berlaku sejak awal tahun.
Penduduk, Razak Daud berkata, dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2025 sahaja, beliau yang Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka berkata, sebanyak empat buah rumah musnah dalam insiden kebakaran melibatkan beberapa kawasan Felda di Wilayah Jengka.
“Dua rumah terbakar di Felda Sungai Retang, manakala masing-masing satu di Felda Jengka 10 dan Jengka 7. Jadi, kita rasa sangat perlu satu balai bomba dibina di kawasan Jengka ini,” katanya.
Menurutnya, antara kawasan yang paling memerlukan balai bomba baharu ialah Zon Sentul dan Pulau Tawar kerana jika berlaku kebakaran, jentera bomba terpaksa datang dari balai utama yang memakan masa antara setengah jam hingga satu jam.
“Bila bomba sampai, rumah dah terbakar 100 peratus. Mereka cuma boleh kawal api, bukan nak selamatkan rumah. Lambat sangat,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar skuad bomba komuniti ditubuhkan di setiap rancangan Felda sebagai langkah awal pencegahan kebakaran dan persediaan sebelum bantuan bomba tiba.
“Skuad ni nanti boleh diberi latihan asas pemadaman kebakaran. Kalau berlaku kebakaran, mereka boleh bertindak cepat sementara tunggu bantuan bomba. Ini penting untuk selamatkan nyawa dan harta benda,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan untuk menaik taraf dan menambah bilangan pili bomba yang kini didakwa banyak rosak dan tidak disenggara.
“Pili bomba banyak yang uzur, kadang-kadang langsung tak boleh pakai. Kita harap pihak berkuasa ambil tindakan segera sebelum lebih banyak rumah musnah,” katanya.
Razak berkata, kebakaran yang berlaku sebelum ini menyebabkan keseluruhan rumah musnah, sekali gus menimbulkan rasa bimbang dan tidak selamat dalam kalangan penduduk.-SAHIH