Nahas di Jalan KL–Kuantan ragut nyawa pegawai JPJ
Nahas di Jalan KL–Kuantan ragut nyawa pegawai JPJ
TEMERLOH – Seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Temerloh maut dalam satu kemalangan tragis melibatkan motosikal yang ditungganginya dan sebuah lori membawa ais di Kilometer 137 Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, petang tadi.
Mangsa, seorang wanita berusia 36 tahun yang bertugas di Unit Pendakwaan JPJ Temerloh, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dalam kemalangan kira-kira pukul 5.16 petang itu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua kenderaan dari arah Temerloh menghala ke Mentakab.
“Siasatan awal mendapati lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum cuba mengelak daripada melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri.
“Tindakan itu menyebabkan lori terbabit terbalik di tengah laluan. Penunggang motosikal Yamaha 135LC yang berada di belakang lori tersebut gagal mengelak lalu melanggar bahagian tengah lori yang terbalik,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Pemandu lori yang merupakan warga tempatan dari Mentakab hanya mengalami luka di kedua-dua belah kaki dan kini dirawat di hospital.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat yang dijadualkan dijalankan malam ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Nini binti Yusof di talian 019-9248017 bagi membantu siasatan.-SAHIH