NAFI TUMBUK PENUNGGANG MOTOSIKAL
NAFI TUMBUK PENUNGGANG MOTOSIKAL
PETALING JAYA : Anggota polis trafik yang didakwa menumbuk seorang penunggang motosikal di Kilometer 28.3 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini, membuat laporan menafikan perkara itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, satu sekatan jalan raya (SJR) dilakukan di lokasi itu membabitkan tujuh anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 8 hingga 9 pagi tadi.
“Dalam kejadian ini, sebuah motosikal dinaiki sepasang suami isteri warga tempatan cuba melarikan diri daripada SJR.
“Ketika melarikan diri, penunggang motosikal itu melanggar kaki seorang anggota polis bertugas sebelum dia berjaya ditahan oleh anggota yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nik Ezanee berkata, penunggang motosikal itu dikenakan tindakan saman kerana kesalahan tidak menggunakan lorong motosikal, tiada lesen serta cukai jalan tamat tempoh.
“Semakan juga mendapati penunggang motosikal itu mempunyai 58 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Beliau berkata, setakat ini, penunggang motosikal itu belum tampil membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Kami sedang mengesan penunggang motosikal berkenaan bagi membantu siasatan. Malah, kertas inkuiri polis juga sudah dibuka dan siasatan ke atas anggota terbabit sedang giat dijalankan.
“Pendirian kami adalah tegas dan konsisten di mana apa saja salah laku pegawai serta anggota akan disiasat dengan teliti. Tindakan akan diambil dari sudut undang-undang serta tatatertib sekiranya didapati wujud kesalahan,” katanya yang memaklumkan anggota polis berkenaan tidak ditahan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azaman Sharia’at berkata, pihaknya mengambil berat dan serius berhubung kejadian berkenaan.
“Kami akan segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kejadian sebenar dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini lapor BH ONLINE.
Terdahulu, satu video berdurasi 37 saat menunjukkan seorang anggota polis dilihat menumbuk seorang penunggang motosikal yang ditahan di tepi jalan untuk pemeriksaan tular di media sosial, hari ini.