MURUKU BANTU RODZYAH JANA PENDAPATAN
KUANTAN : Bekerja sebagai pencuci pejabat tidak menghalang seorang ibu tunggal di sini, mengusahakan snek muruku bagi menambah pendapatan keluarganya.
Rodzyah Hassan berkata, beliau menerima tempahan sebanyak 50 bekas daripada pelanggan tetapnya setiap bulan.
Wanita cekal ini berkata, kebiasaannya beliau memulakan membuat snek muruku pada sebelah petang iaitu selepas pulang daripada bekerja.
“Saya bermula dengan mengadun tepung, menguli dan menggoreng menggunakan acuan muruku.
“Setiap adunan mengambil masa selama dua jam setiap hari untuk disiapkan,”katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, beliau tidak menyangka dapat menjana pendapatan menerusi perniagaan muruku.
Snek muruku yang dihasilkan Rodzyah yang rangup dan lembut.
“Selepas kehilangan suami, saya pernah mengambil upah menggoreng muruku untuk menyara enam orang anak.
“Namun saya mengambil keputusan untuk mengusahakan sendiri.
“Pada mulanya saya hanya mencuba-cuba dengan memberi pada kawan-kawan dan saudara-mara.
“Namun mereka memberi cadangan untuk menjual muruku memandangkan snek berkenaan rangup dan sedap.
“Permintaan makin bertambah ketika musim perayaan dan boleh mencecah 400 bekas sebulan,”katanya.
Muruku yang ditempah pelanggan tetapnya setiap bulan
Katanya, buat masa ini beliau tidak bercadang untuk mengupah pembantu kerana masih boleh mengusahakan sendiri.
“Saya biasanya menjual menerusi kawan-kawan dan saudara-mara. Ada juga menerusi aplikasi WhatsApp.
“Kebanyakan pelanggan terdiri daripada kawan-kawan, saudara-mara dan juga pegawai di tempat saya bekerja.
Selain dalam bekas, Rodzyah turut menjual dalam bentuk bungkusan
“Mereka beli sebagai makanan ringan,ada juga yang memborong untuk dijual semula dan untuk kenduri,” katanya.
Beliau berharap agar perniagaan murukunya dapat diperbesarkan ke seluruh negeri di Pahang.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan muruku boleh menziarahi di laman sosial Facebook, Rodzyah Hassan.