MARTABAK DAGING RUSA EKSKLUSIF DI FELDA GELANGGI DUA
MARTABAK DAGING RUSA EKSKLUSIF DI FELDA GELANGGI DUA
JERANTUT: Daerah ini terkenal dengan murtabak lebih-lebih lagi semasa bulan Ramadan, ramai peniaga makanan ikonik daerah ini berniaga di pasar-pasar Ramadan di sekitar bandar dan di daerah ini sehingga tidak sukar untuk mendapatkan juadah itu untuk berbuka puasa.
Tetapi pernahkah anda menikmati martabak daging rusa, martabak ini agak jarang didapati di pasar Ramadan tetapi boleh didapati di kedai MARA, di FELDA Kota Gelanggi Dua dekat sini untuk berbelanja makanan itu sebagai juadah berbuka puasa.
Bagi penjual martabak daging rusa itu, Erma Diana Apwa, 42, dia sudah sedia maklum martabak daging dan ayam sudah menjadi biasa di daerah ini oleh itu dia menjual dan menyediakan martabak campuran daging rusa untuk menarik perhatian pelanggan membeli untuk berbuka puasa.
“Setiap hari ini, saya menyediakan lima kilogram daging rusa segar untuk dijadikan inti martabak. Selain daging ini, saya juga menyediakan martabak daging lembu dan juga ayam.
“Bekalan daging rusa segar, kami peroleh daripada pembekal daging di bandar Jerantut setiap hari dan memproses dijadikan bahan campuran martabak pada sebelah pagi,” katanya di FELDA Kota Gelanggi Dua, dekat sini.
Katanya, suaminya, Mohd Shahrul Shamsudin, 49, memastikan bekalan daging rusa mencukupi yang diperoleh daripada pembekal daging rusa bagi memenuhi permintaan penggemar martabak tersebut pada setiap petang.
Katanya, dia bersama suaminya memulakan perniagaan roti canai sejak 10 tahun lalu di kedai MARA FELDA tersebut, tetapi cuma menjual martabak sahaja pada bulan Ramadan.
“Saya hanya menjual 50 keping martabak daging rusa setiap petang, manakala hampir jumlah yang sama martabak daging lembu dan ayam dalam tempoh empat jam berniaga sebelum masuk waktu berbuka, menjadikan murtabak daging rusa begitu eksklusif.
“Oleh kerana tidak ada yang menjual martabak daging rusa, martabak ini laris lebih awal kerana ditempah atau pelanggan di FELDA ini menunggu lebih awal untuk membeli malahan ada yang datang dari kawasan berdekatan untuk menikmati murtabak ini,” katanya.
Erna Diana berkata, martabak daging rusa lebih halus, mempunyai aroma dan rasanya lebih sedap berbanding dengan daging lembu dan ayam, walau bagaimanapun kalangan pelanggan membuat pilihan berasaskan selera masing-masing untuk berbuka puasa.
“Sekeping martabak daging rusa berharga RM7, manakala martabak daging lembu dan ayam RM5.
“Pendapatan ini bolehlah dijadikan wang belanja untuk persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.