Murid Pendidikan Khas Ulu Tembeling tanam sayur
Murid Pendidikan Khas Ulu Tembeling tanam sayur
JERANTUT – Menabung dan berjimat cermat perlu diterapkan kepada anak-anak di usia muda, turut tidak terkecuali murid kelas Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling, dekat sini.
Walaupun berstatus Murid Berkeperluan Khas (MBK), tetapi taraf kendiri, semangat dan usaha mereka sangat tinggi dan cuba berdikari apabila diberi pendidikan dan latihan kemahiran.
Seramai 11 orang murid PPKI sekolah itu, terbabit sepenuhnya dengan usaha berkebun sayur-sayuran di kawasan seluas kira-kira 50 meter dalam kawasan sekolah menerusi bimbingan guru mereka.
Kini hasil tanaman yang diusahakan sejak musim tengkujuh penghujung Disember 2021 sudah pun mengeluarkan hasil dan dipasarkan untuk memenuhi tabung kelas PPKI.
Guru Besar SK Ulu Tembeling, Abd Manaf Mat berkata, aktiviti berkebun itu merupakan program pendidikan luar kelas untuk melatih murid PPKI berdikari dengan memberi kemahiran serta minat terhadap pertanian.
“Selain itu, usaha ini juga untuk menggalakkan mereka berminat hadir ke sekolah serta mengikis perasaan jemu di dalam kelas apabila guru membawa keluar untuk berkebun.
“Kita memperuntukkan waktu untuk murid PPKI berkebun dengan tunjuk ajar guru bermula sejak menanam benih, mengurus penjagaan seperti membaja dan menyiram air sehinggalah mengeluarkan hasil seterusnya memetik untuk dijual secara kecil-kecilan,” katanya di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini.
Katanya, tanaman seperti kacang panjang, bayam dan cili burung merupakan hasil usaha murid PPKI yang nampaknya sungguh rajin dan bersemangat apabila hasil mereka memperoleh wang untuk mengisi tabung kelas setelah dijual kepada pelanggan yang terdiri daripada guru, kaki tangan pejabat dan rakan sekolah.
Guru PPKI, Farhan Fidaiy Nasruddin, 25, berkata, kesemua murid berminat dan teruja berkebun apabila program tanaman sayur-sayuran bermula sejak kelas tersebut diwujudkan di sekolah itu beberapa tahun lalu.
“Apabila dilatih kemahiran berkebun semua murid PPKI sudah faham tanggungjawab masing-masing terhadap tanaman mereka sejak mula menanam benih, mengurus tanaman sehingga pokok sayur mengeluar hasil dan dipetik.
“Aktiviti berkebun merupakan hasrat jangka panjang khususnya bagi murid ini sekurang-kurangnya mereka mampu berdikari apabila dewasa nanti selain membantu menambah pendapatan keluarga di rumah,” katanya.
Murid PPKI yang kategori lemah pembelajaran, Muhd Arief Din, 12, berkata, dia dan rakannya begitu seronok melakukan aktiviti berkebun ketika ditunjukajar oleh guru.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Guru Besar dan guru kelas, Farhan Fidaiy yang sangat baik hati mengajarkan kami cara berkebun bermula menanam benih sehingga memetik hasil sayur ini,” katanya.-SAHIH.