MURID AUTISME TURUT IKUTI KELAS ATAS TALIAN
MURID AUTISME TURUT IKUTI KELAS ATAS TALIAN
JERANTUT : Murid kelas pendidikan khas, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Gelanggi Dua, Saiful Amar Naim Zulkifli, 9 tahun turut tidak terlepas peluang mengikuti kelas secara ‘google meet’ atau pembelajaran secara atas talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan.
Saiful Amar, murid autisme gembira mengikuti kelas kerana dia berasa rapat dengan guru dan rakan-rakannya kerana dapat menatap wajah mereka dengan lebih dekat sepanjang pembelajaran dijalankan oleh gurunya.
Ibunya, Kamariah Daud, 47, berkata, anaknya yang mengalami masalah komunikasi dan hiperaktif sejak kecil, Amar tidak sabar menunggu dan melihat skrin alat peranti setiap kali dihubungi oleh guru Pendidikan Khas bagi memulakan kelas secara maya.
“Dia amat gembira apabila dapat melihat wajah guru dan rakan-rakan dalam sidang google meet sambil menunjukkan jari ke skrin alat peranti.
“Walaupun lambat menyebut patah perkataan, tetapi dia faham dengan mengerakkan bibir, bertindak balas mengangkat tangan serta gembira melihat paparan wajah guru dan rakannya,” katanya ketika tinjauan SAHIH di rumahnya di Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut hari ini.
Katanya, apabila ada kelas online , dia sentiasa berada bersama anaknya untuk membimbing dan membantu Saiful Amar Naim mengikuti PdPR secara dalam talian supaya anak keempatnya itu boleh menumpukan perhatian ketika sesi pembelajaran diadakan.
“Saya bersyukur anak autisme saya turut berpeluang mengikuti kelas Pendidikan Khas secara google meet dan dia tidak tercicir dalam pelajaran menerusi kelas PdPR yang sudah disusun atur jadual oleh gurunya sepanjang tempoh ‘kelas online’‘ PKP ini.
“Dalam tempoh PKP ini, suami saya, Zulkifli Abdul Hapit sudah membeli dua buah komputer terpakai untuk kemudahan dua orang anak yang masih belajar di sekolah menengah, manakala sebuah lagi alat peranti yang diperoleh secara percuma dari sebuah syarikat telekomunikasi pada tahun lalu dan digunakan oleh seorang lagi anak saya,” kataya.
Kamariah yang mempunyai dua orang anak lelaki dan tiga lagi perempuan berusia antara 18 hingga enam tahun berkata, sesi PdPR secara atas talian kerap terganggu kerana capaian talian internet menjadi lemah apabila sesi pembelajaran berlaku serentak.
“Ini satu kelemahan yang berlaku di kawasan Felda ini. Walau bagaimanapun saya tetap memberikan kata semangat untuk anak-anak ketika mereka mengikuti sidang google meet sebagai norma baharu dan diharap sehingga PdPR selesai segera untuk anak-anak saya dapat belajar secara bersemuka.
Manakala gurunya, Mohd Fatmahisyam Abd Rahman (39), sudah 10 tahun mengajar di sekolah tersebut, berkata, sidang google meet setiap mata pelajaran dilaksanakan bersilih ganti dalam seminggu, itupun bergantung kepada kesanggupan ibu bapa meminjamkan alat peranti.
“Saya juga menghantar bahan bercetak ke rumah murid ini terutamanya memberikan tumpuan kepada murid autisme yang tidak mampu berkomunikasi termasuk yang tidak mempunyai alat peranti supaya mereka memanfaatkan tempoh ‘bercuti’ ini serta masa lapang dengan kegiatan pembelajaran,” katanya.-SAHIH.