MURID ASLI KAMPUNG KUCING, HULU TEMBELING TERUS BELAJAR
MURID ASLI KAMPUNG KUCING, HULU TEMBELING TERUS BELAJAR
PIHAK SEKOLAH MENGHANTAR BAHAN BERCETAK KEPADA 20 MURID KAMPUNG ITU
JERANTUT : Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan, semua sekolah ditutup tetapi proses pengajaran dan pembelajaran tetap dilaksanakan oleh pihak sekolah dan guru-guru secara Belajar Dari Rumah (BDR) secara atas talian.
Walau begitu, terdapat masyarakat yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti peranti, komputer, celik teknologi perkomputeran dan kemudahan internet untuk mengikuti kelas atas talian yang dijalankan.
Alternatifnya, pihak pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Tembeling, Jerantut yang terletak kira-kira 130 kilometer dari bandar Jerantut mengambil inisiatif menghantar bahan pembelajaran bercetak kepada murid Orang Asli etnik Semaq Beri di Kampung Sungai Kucing, Hulu Tembeling dekat sini.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Tembeling, Jerantut, Abd Manaf Mat berkata, bahan bercetak itu terdiri daripada mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam dihantar ke perkampungan Orang Asli yang mengambil masa selama 30 minit dengan mengunakan bot penambang.
“Kita menghantar modul bercetak ini kepada 20 orang murid di situ kerana guru tidak dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara ‘online’ kerana kawasan berkenaan agak pedalaman dan tiada akses internet.
“Tugas menghantar bahan bercetak itu juga mencabar kerana terpaksa menaiki bot penambang dengan menyewa RM70 untuk setiap kali penghantaran mengharungi arus Sungai Tembeling yang deras kebetulan pula paras air naik berikutan hujan lebat di hulu,”katanya..
Guru Pendidikan Islam, Fauzan Md Thahib pula berkata, tugas menghantar bahan bercetak berupa lembaran kerja sekolah pernah dilakukan pada awal tahun ini ketika penguatkuasaan PKP untuk memastikan murid Orang Asli tidak tercicir menerima pengajaran seperti murid lain.
“Kita berpuas hati kerana dapat berbakti dan melaksanakan tanggung jawab untuk mereka manfaatkan dan melakukan kerja yang diberi walaupun kami terpaksa mengharung sungai dengan menaiki bot penambang.
“Etnik minoriti di situ beragama Islam, ini bermakna subjek Pendidikan Islam sejajar dengan tugas itu untuk memantapkan akidah dan iman di peringkat kanak-kanak termasuk menjana pengetahuan, kemahiran dan pembinaan insan menerusi mata pelajaran lain, “katanya.
Murid sekolah itu, Khairul Najmi Abdullah, menyifatkan kehadiran guru ke kampung mereka cukup bermakna kerana dia dapat memperoleh pengetahuan sepanjang tempoh ‘bercuti’ akibat penularan COVID-19.
“Bakti dan jasa guru SK Hulu Tembeling amat besar bagi saya dan rakan di kampung ini kerana mereka bersusah payah bergadai nyawa merentasi sungai dengan bot penambang semata-mata untuk memberikan ilmu kepada kami dan tidak tidak sabar untuk kembali ke sekolah dan selesa berada di dalam kelas bersama rakan dalam kalangan orang Melayu sambil berharap wabak COVID-19 kembali pulih,” katanya.
Seorang bapa murid, Hilmi Sayong berkata, dia berterima kasih kerana kesanggupan guru menghantar bahan bercetak berkenaan yang boleh membantu murid di situ belajar.
“Usaha guru SK Hulu Tembeling amat kami hargai kerana dapat memenuhi masa cuti tempoh penguatkuasaan PKP supaya kanak-kanak di sini belajar di rumah dan berharap ancaman pandemik Covid-19 kembali pulih supaya kanak-kanak di sini dapat semula ke sekolah bersemuka dengan guru di kelas,” katanya.-SAHIH.