MULA DENGAN LAPAN EKOR, KINI PEMBEKAL DAGING ARNAB
MULA DENGAN LAPAN EKOR, KINI PEMBEKAL DAGING ARNAB
JERANTUT: Bermula dengan lapan ekor arnab yang dibeli, sekarang pengusaha ternakan arnab daging di Felda Gelanggi Dua berdepan bekalan daging arnab yang tidak mencukupi untuk dijual kepada pembeli dan penggemar daging haiwan itu.
Pengusaha tersebut, Mohd Shamsurezza Awang, berusia 36 tahun, berkata, pada awalnya dengan 4 ekor jantan dan 4 ekor betina, kini sudah mempunyai hampir 300 ekor arnab dan dianggap pembekal daging arnab di kawasan daerah Jerantut, Bandar Jengka, malah ada pembeli dari Melaka dan Kuala Lumpur.
“Saya memulakan ternakan arnab pada November 2019, selepas melayari internet berkaitan dengan penternakan arnab, selepas berkali-kali menonton, ia membuka hati saya untuk berternak dan bermula dengan modal kira-kira RM500 untuk membeli dawai untuk dibuat sangkar.
“Selain itu, saya mengikuti kursus sehari cara penternakan arnab di Rantau Panjang, Klang, Selangor untuk mengetahui lebih lanjut seluk-beluk penjagaan dan peliharaan haiwan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Katanya, kebanyakan orang yang telah makan daging arnab dikatakan daging arnab sesuai dan sedap dibuat rendang, sate, daging arnab perap, arnab masak kicap serta arnab goreng kunyit.
“Ada yang suka makan daging arnab kerana dipercayai mempunyai rendah lemak, banyak protein, kolestrol rendah dan tinggi serat yang halus dan tinggi, peranan yang besar untuk kesihatan badan untuk membentuk asas nutrisi untuk atlet, terutama pembina badan.
“Pasaran daging arnab sekarang banyak dibeli oleh penduduk Felda Gelanggi Dua dan sekitar, kebanyakannya membeli yang siap disembelih dan dibersihkan, saya juga menjual daging yang sudah disejuk beku,” katanya.
Katanya, ada yang membeli arnab hidup untuk dijadikan haiwan peliharaan dan ada yang membeli untuk dijadikan induk penternakan arnab.
“Daging arnab yang siap disembelih dan dibersihkan berharga RM35 sekilogram, manakala arnab hidup berusia sebulan berharga RM35, usia 2 bulan (RM50), 3 bulan (RM70), 4 bulan (RM170) dan usia 5 bulan ke atas berharga RM170 seekor.
“Berkaitan dengan arnab, mempunyai banyak jenis baka, antara yang diternak ialah jenis New Zealand White 200 ekor dan Chincilla pedaging 50 ekor,” katanya.
Isterinya yang turut membantu, Norhana Badaruddin (35) berkata, sekarang bekalan daging arnab tidak mencukupi, maka pasarannya mendahulukan pelanggan tetap seperti pembuat daging arnab perap dan penjual sate serta penduduk sekitar Jerantut.
“Saya juga perlu memantau pemakanan arnab yang diberi sehari sekali dan setiap ekor akan makan kira-kira 100 gram makanan bijirin jenis FFM berharga RM68 sekampit seberat 25 kilogram.
“Kadang-kadang anak saya berusia 9 dan 12 tahun serta anak jiran suka datang ke ‘reban’ arnab di sini untuk turut membantu secara ‘main-main’ sebab mereka suka tenguk arnab, mereka tolong membersih dan membasuh sangkar supaya tidak kotor,” katanya.
Katanya, mereka turut mementingkan aspek kebersihan dan kesihatan arnab termasuk pemakanan dan sekali sekala turut memberi makan rumput napier.-SAHIH.