MUIP bantu OKU keturunan Tionghua cedera dalam kemalangan
MUIP bantu OKU keturunan Tionghua cedera dalam kemalangan
LIPIS – Muhammad Adam Lee yang masih bujang memeluk Islam pada 19 November 2020 sangat ceria apabila menerima sumbangan wang tunai dan hamper makanan daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) di Kampung Penjom, dekat sini, hari ini.
Beliau seorang mualaf Orang Kurang Upaya (OKU) keturunan Tionghua hanya mampu bersyukur ketika diziarahi oleh Pengurus Cawangan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) Lipis, Aliuddin Abdul Halim@Bakar dan diiringi Ketua Saudara Baharu Daerah Lipis, Mohd. Fawzy Fong Abdullah.
Adam Lee yang cacat kekal, iaitu kudung tangan kirinya dan terkini terbabit pula dengan kemalangan pada bulan lalu di tempat kerja sehingga patah kaki kanan menyebabkan dia tidak boleh berjalan serta masih menerima rawatan.
“Ketika ini saya masih tidak mampu berjalan cuma berkerusi roda di rumah kerana kaki kanan patah teruk dan masih belum sembuh selepas dibedah untuk memasukkan empat batang ‘besi’ ketika dirawat di Hospital Lipis.
“Kecederaan Penderitaan mengakibatkan saya tidak mampu bekerja, tetapi mujurlah tauke kebun durian tempat saya bekerja memahami keadaan ini dan membenarkan cuti sehingga benar-benar sembuh,” katanya.
Bercerita kepada SAHIH, Adam Lee, sebelum memeluk Islam, dia merantau ke Lipis sebatang kara untuk mencari pekerjaan dan bersyukur dapat bekerja di kebun durian walaupun hanya memperoleh upah yang kecil memandangkan dia juga berstatus OKU.
“Saya masih mempunyai keluarga tinggal di Selangor, iaitu emak dan dua orang kakak, manakala abang yang juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang tidak boleh berjalan.
“Saya cuma mampu menunggang motosikal menggunakan sebelah tangan (kanan) ke tempat kerja, tetapi malangnya terbabit pula dengan kemalangan sehingga patah kaki dan entah berapa lama lagi benar-benar sembuh sepenuhnya,” katanya.
Katanya, dia menerima hidayah untuk memeluk Islam lalu bertemu dengan Mohd Fawzy Fong untuk menguruskan lafaz kalimah shahadat dengan tunjuk ajar pegawai agama Islam di pejabat MUIP Lipis.
“Saya kini lebih tenang serta berpeluang mempelajari selok-belok agama Islam sambil berdoa supaya cepat sembuh bagi membolehkan bekerja semula serta berharap ada dermawan yang dapat membantu selain berterima kasih dengan sumbangan MUIP Lipis dan Hospital Lipis yang menyediakan sebuah kerusi roda,” katanya.
Sementara itu, Aliuddin menambah, MUIP sudah dua kali berziarah dan menyampaikan sumbangan kepada Adam Lee memandangkan dia masih tidak bekerja dan tanpa pendapatan selepas terbabit dengan kemalangan.
“Bukan sahaja insan mualaf seperti Adam Lee ini, pejabat MUIP Lipis turut membantu sumbangan wang tunai dan barang makanan kepada semua saudara baharu Islam (mualaf) pelbagai keturunan, golongan asnaf, mereka yang tidak berkemampuan serta penduduk yang ditimpa bencana supaya dapat meredakan kesusahan yang mereka tanggung.
“Kita berharap Adam Lee bersabar dengan ujian Allah SWT dan segera sembuh seperti sedia kala bagi meneruskan kehidupan yang penuh pancaroba ini,” ujarnya.
Ketua Saudara Baharu Daerah Lipis, Mohd. Fawzy Fong berkata, dia kerap memantau kebajikan Adam Lee yang tinggal bersendirian di Penjom yang masih dirawat akibat patah kaki serta membantu menyediakan barang keperluan dapur termasuk membawanya ke hospital.
“Selain Adam Lee, kita dengan kerjasama MUIP di sini turut mengambil berat kebajikan saudara baharu lain khususnya yang berdepan kesusahan akibat ditimpa penyakit, warga emas dan OKU,” katanya.
Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah membantu Adam Lee Abdullah bolehlah menghubunginya menerusi talian 017 7934018 dan Mohd Fawzy Fong (019 9288780) atau sumbangan terus ke akaun Maybank bernombor 161172204151.-SAHIH.