MUHYIDDIN UCAP TAHNIAH KEPADA BIDEN
HARAP HUBUNGAN MALAYSIA-AMERIKA SYARIKAT BERTAMBAH KUKUH
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Joe Biden yang dilaporkan memenangi pilihan raya presiden AS dan berharap dengan perkembangan itu, Malaysia dapat menjalin hubungan yang lebih baik dengan AS.
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin mengatakan Malaysia, sebagai negara membangun, sangat mementingkan hubungannya dengan negara Kuasa Besar itu.
KENYATAAN media Tan Sri Muhyiddin Yassin
“Malaysia berharap dapat memperkukuhkan lagi kerjasama ini dengan AS di bawah Biden ketika masyarakat antarabangsa berusaha mengatasi banyak cabaran global, termasuk kesan buruk dari pandemik Covid-19.
“Saya ucapkan selamat berjaya kepada presiden terpilih Biden dalam menjalankan tugas, dan berharap dapat bertemu dengannya secara peribadi jika ada peluang,” kata Muhyiddin.
Setelah pengiraan undi selama empat hari, media melaporkan Biden sebagai pemenang pilihan raya presiden AS awal pagi tadi.
Pencabar Biden, Donald Trump bagaimanapun belum akur kalah.