MUHYIDDIN SANTUNI MANGSA BENCANA BANJIR DI PAHANG
MUHYIDDIN SANTUNI MANGSA BENCANA BANJIR DI PAHANG
TEMERLOH: Sebalik musibah banjir yang melanda Pahang, mangsa banjir kali ini berkesempatan menyuarakan keluh kesah mereka terus kepada pemimpin tertinggi negara yang menyantuni mereka hari ini.
Kunjungan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa-mangsa banjir di sini.
BERNAMA melaporkan, beliau meluangkan masa 40 minit melawat mangsa banjir selepas tiba di PPS berkenaan pada pukul 10 pagi menggunakan helikopter dan disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
GAMBAR IHSAN BERNAMA
Turut hadir, barisan kepimpinan tertinggi negeri serta Ketua Pengarah Agensi Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr. Aminuddin Hassim.
Perdana Menteri kemudian diberikan taklimat pengurusan bencana banjir di daerah tersebut dan kemudian dibawa melawat mangsa yang berada di PPS tersebut.
Dalam lawatan itu, Muhyiddin turut beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir, menyantuni warga emas dan menyampaikan sumbangan kit makanan kepada mereka.
Selain itu, beliau turut membuat tinjauan di kawasan sekitar untuk melihat kemudahan yang disediakan kepada mangsa banjir di PPS tersebut yang menempatkan 873 orang daripada 204 keluarga, setakat 12 tengah hari ini.
Muhyiddin kemudian dijangka akan meneruskan lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Chenor di Maran pada pukul 11 pagi.