MUAFAKAT NASIONAL PAHANG DIPERKASA MENJELANG PRU-15
MUAFAKAT NASIONAL PAHANG DIPERKASA MENJELANG PRU-15
BANDAR JENGKA: Permuafakatan politik UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional ( MN ) Pahang akan terus diperkukuh bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15 ).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, muafakat dua parti terbesar itu terbukti mampu mengembalikan kekuatan politik bangsa majoriti terbesar di negeri ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang mengakui MN telah mewujudkan kestabilan politik di negeri ini memudahkan dan melancarkan urusan pentadbiran tanpa banyak diganggu dengan politik.
“ Sejak menjawat Menteri Besar lagi usaha memperkukuhkan hubungan UMN0- Pas telah dibuat secara berterusan, hasilnya dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Chini majoriti undi lebih 4,000 berbanding hanya 400 sebelum ini,” katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program : “Excellent Communication and People Skills For Career Success” anjuran Yayasan Juwita di Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka hari ini.
Turut hadir Ahli Majlis Kerajaan Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Pengerusi Juwita Datuk Rosni Zahari dan Rektor UiTM Pahang Prof Ts Datuk Dr. Mohd Ilham Adenan.
Menurutnya, beliau berusaha sehabis baik untuk keharmonian dan memperkukuh Muafakat Nasional di negeri ini, satu permuafakatan terbaik demi menyaksikan kestabilan kerajaan yang ada pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) sekarang.
Beliau berkata, Barisan Nasional negeri yang ditunjangi UMNO diperkukuhkan lagi dengan penyertaan PAS menerusi MN sangat membantu dalam memakmur negeri.
“Hasil kerajaan negeri meningkat yang mencatat rekod tersendiri dan kek ekonomi itu disalurkan kepada rakyat melalui pelbagai bantuan, contoh terbaik dengan program bantuan rumah rakyat Pahang ( RRP) secara percuma kepada yang layak dan bilangan penerima akan bertambah tahun ini,” katanya.