MTPN Genap 10 Tahun: Terus Jadi Benteng Hak Pengguna Malaysia
MTPN Genap 10 Tahun: Terus Jadi Benteng Hak Pengguna Malaysia
KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya dengan penuh semangat dan komitmen untuk terus menjadi suara utama pengguna di Malaysia.
Presiden Kebangsaan MTPN, Dato’ Paduka Dr. Kevy KV Yeo, berkata MTPN telah mencatat pelbagai pencapaian gemilang sepanjang satu dekad yang lalu dalam memperjuangkan keadilan dan ketelusan demi kepentingan pengguna.
“Sepanjang tempoh ini, kami berjaya menyelesaikan lebih 3,000 aduan melibatkan pelbagai sektor termasuk perbankan, telekomunikasi, perkhidmatan awam dan produk cacat,” katanya.
MTPN juga dilaporkan aktif sebagai pemacu dasar bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta memainkan peranan penting dalam pembentukan garis panduan industri demi memastikan amalan perdagangan yang adil.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis “Meet & Greet Aidilfitri 2025″Ramah Mesra Bersama Rakan Media di Corus Hotel, di sini, hari ini.
Antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah program kesedaran pengguna yang menjangkau lebih sejuta rakyat, dan pelancaran Pengguna Bijak Digital bagi mendidik orang ramai tentang keselamatan urus niaga dalam talian.
Menurut Dr. Kevy, MTPN turut melebarkan pengaruh ke peringkat antarabangsa dengan menjalin hubungan strategik bersama World Consumers Association (WCA) yang bernaung lebih 180 pertubuhan pengguna global.
“Memasuki dekad kedua, MTPN berazam memperkukuh advokasi hak pengguna digital, memperluas pendidikan ke kawasan luar bandar dan memanfaatkan teknologi seperti AI untuk mengekang penipuan,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli, sukarelawan, rakan strategik serta rakyat Malaysia yang terus menyokong perjuangan MTPN.-SAHIH