MTBH bantu komuniti pedalaman bina musala ngaji di Tongod
Foto : Pelajar MTBH akan menjalinkan kolaboratif terbaik dengan penuntut di musala ngaji nanti
MTBH bantu komuniti pedalaman bina musala ngaji di Tongod
RANAU – Madrasah Mahaad Tahfiz Bidayatul Hidayah (MTBH) Kundasang Lama, di sini, menjalinkan kolaborasi bagi membantu komuniti Kampung Namukon, Tongod mencari dana untuk pembinaan sebuah musala ngaji.

Sebahagian kerja meratakan tanah untuk tapak musala ngaji berkenaan.
Pengerusinya, Musatafa Asad, berkata pihaknya terpanggil untuk membantu selepas menerima maklumat daripada beberapa ustaz dan pendakwah yang sering berkunjung ke madrasah berkenaan dalam program pengisian ilmu agama.
Menurutnya, susulan itu Ahli Jawatankuasa MTBH bersetuju untuk menggerakkan usaha mencari dana serta mengajak orang ramai menyumbang dan berinfak bagi merealisasikan pembinaan Musala Ngaji Kampung Namukon.
Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja bagi menyediakan kemudahan pembelajaran agama, malah bertujuan mengeratkan ukhuwah bersama komuniti setempat serta memberi peluang penduduk mempelajari al-Quran dan asas fardu ain.
“Selain itu, ia menjadi medan dakwah terbaik kepada ustaz dan alumni MTBH untuk berkongsi ilmu serta memperluaskan pendidikan al-Quran di kawasan pedalaman Sabah.
“Amat menyentuh hati apabila terdapat dalam kalangan mualaf di kampung itu menunjukkan minat tinggi untuk mendalami ilmu membaca al-Quran dan fardu ain,” katanya.
Musatafa berkata, beberapa pelajar kurang berkemampuan dari kampung berkenaan kini turut mengikuti pengajian secara percuma di MTBH hasil tajaan, berbanding sebelum ini terpaksa berulang-alik sejauh kira-kira 150 kilometer.
Tambah beliau, faktor itu turut mendorong pihaknya mempercepatkan usaha membina musala berkenaan, namun proses pembinaan berjalan perlahan berikutan kos tinggi serta cabaran lokasi pedalaman.
Sehubungan itu, MTBH memohon sumbangan orang ramai dan agensi korporat bagi menampung kos keseluruhan sebanyak RM13,000 untuk pembelian bahan binaan dan upah pekerja.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB bernombor 860 605 4841 atas nama Bidayatul Hidayah Centre dengan rujukan “Infaq Musala”.
Sementara itu, bekas pendidik, Amistari Mustari yang mewakafkan tanah seluas kira-kira 5,000 kaki persegi sebagai tapak pembinaan, berkata sumbangan itu bertujuan menyediakan pusat ibadah dan pembelajaran agama untuk masyarakat setempat.
Katanya, wakaf berkenaan diharap menjadi amal jariah berpanjangan serta memberi manfaat kepada generasi muda di kawasan pedalaman.
Beliau yakin musala ngaji itu mampu menjadi pusat pengajian al-Quran bagi kanak-kanak dan dewasa, sekali gus melahirkan masyarakat celik agama dan berakhlak mulia.
“Usaha ini juga diharap dapat mengimarahkan aktiviti keagamaan seperti kuliah, tazkirah dan program komuniti, khususnya bagi membantu golongan mualaf dan asnaf,” katanya.-SAHIH,
