MPC perkenal Digital Lean
MPC perkenal Digital Lean
Malaysia Productivity Corporation (MPC) berperanan memperkenal pendekatan Digital Lean kepada syarikat tempatan.
Pengarah Pengurusan Moden dan Teknologi MPC, Saliza Saari, berkata projek Digital Lean adalah hasil kerjasama antara MPC dan VFive Group yang menunjukkan kejayaan besar dalam meningkatkan kecekapan operasi syarikat berkenaan.

Norhayati Jamil memberi taklimat pendekatan Digital Lean untuk kakitangan syarikat VFive Group.
Katanya, projek Digital Lean yang diinspirasikan, bertujuan untuk mengintegrasikan prinsip Lean dengan teknologi digital, membawa transformasi menyeluruh dalam pengurusan operasi.
“Dengan bimbingan dan sokongan yang disediakan oleh MPC, Vfive Group berjaya mengurangkan masa operasi, kos dan pembaziran dalam rantaian nilai mereka.
“Hasil pelaksanaan projek itu, setiap syarikat dapat membuat keputusan yang lebih pantas dan tepat, meningkatkan kualiti produk, serta memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih efisien,” katanya.
Saliza berkata, projek Digital Lean itu mampu sebagai pemangkin dalam amalan pengurusan dalam daya saing negara di bawah subindikator ‘agility of company’ dan ‘data analytics’ (analitik data).
“Kejayaan projek itu didorong dengan kerjasama erat dengan pensyarah Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, Perak, yang bertindak sebagai perunding projek yang bertanggungjawab dalam pembangunan dashboard dan aplikasi digital untuk pengurusan inventori VFive Group.
“Dengan adanya dashboard itu, pihak VFive Group dapat memantau inventori secara masa nyata, mengoptimumkan pengurusan stok dan mengelakkan pembaziran, malah aplikasi digital berkenaan juga memudahkan proses pengesanan dan pengurusan inventori, yang sebelumnya dilakukan secara manual,” katanya.
Katanya, mereka berbangga dengan pencapaian VFive Group melalui projek Digital Lean ini, malah kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan digital yang strategik mampu membawa perubahan positif yang signifikan kepada prestasi operasi dan daya saing syarikat.
Sementara itu, Perunding Projek Program Digital Lean yang juga Pengarah Pusat Kebolehpasaran dan Perkhidmatan Industri Korporat (CISEC) PSAS, Norhayati Jamil, berkata pembinaan dashboard dan aplikasi itu adalah hasil daripada pemahaman mendalam tentang keperluan operasi Vfive Group.
“Kami berusaha untuk memastikan setiap ciri dalam dashboard dan aplikasi ini mampu memberikan kemudahan maksimum kepada pengguna, serta mempercepat proses pengurusan inventori.
“Keberhasilan projek ini juga mencerminkan kecekapan MPC dalam menganjurkan dan membimbing syarikat tempatan ke arah digitalisasi.
Katanya, MPC berusaha menyediakan pelbagai program latihan dan bimbingan untuk memastikan syarikat seperti VFive Group dapat memanfaatkan teknologi digital sepenuhnya.,” -SAHIH.