MOTOSIKAL TERBABAS, PENUNGGANG MAUT DI LEBUHRAYA KARAK-KL
MOTOSIKAL TERBABAS, PENUNGGANG MAUT DI LEBUHRAYA KARAK-KL
BENTONG – Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 68.5 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur (hala timur), petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa, Ismail Jamaluddin, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas motosikalnya hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di lorong kanan sebelum berpusing dan memasuki lorong kiri.
“Tindakan itu menyebabkan penunggang motosikal yang berada di lorong kiri cuba mengelak tetapi gagal sebelum motosikalnya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kemalangan itu sebelum sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dikerahkan ke lokasi.
“Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.
Zaiham turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati terutama di musim perayaan bagi mengelakkan insiden tidak diingini.-SAHIH