MONYET GANGGU TADIKA
ADUAN SUDAH DIBUAT, BELUM ADA TINDAKAN
JERANTUT: Sudah empat kali surat aduan dihantar kepada pihak berkenaan, namun masalah monyet liar berkeliaran di kawasan taman didikan kanak-kanak (TADIKA) FELDA Jengka 24, di sini, masih belum menemui jalan penyelesaian.
Guru TADIKA, Rogayah Said berkata, walaupun setakat ini belum berlaku insiden tidak diingini, namun tindakan segera perlu diambil bagi memastikan keselamatan kanak-kanak ditempatkan di situ.
“Kalau boleh kita cegah terlebih dahulu sebelum berlaku.. janganlah biarkan saja aduan dibuat dan sepatutnya sudah ada tindakan diambil untuk mengatasi isu ini.
“Sekarang belum lagi berlaku, kita tidak tahu pada masa akan datang.. jadi, kalau boleh elak, baik kita cari jalan (penyelesaian) sebelum berlaku kejadian yang kita tidak mahu lihat atau dengar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, aduan surat 4 kali telah dihantar oleh Pejabat Felda ke Pejabat Perhilitan Negeri Pahang sejak tahun 2019 dan yang terbaru pada 5 November 2020 , namun setakat ini belum ada tindakan susulan diambil.
.
“Kita bimbang dengan keselamatan mereka (kanak-kanak) yang berada di situ.. ibu bapa pun ada menyampaikan rasa kurang selamat dengan kehadiran monyet liar di kawasan terbabit.. saya difahamkan, ada kumpulan monyet liar ini turut merosakkan peralatan TADIKA, ada yang masuk dalam kelas hingga menyebabkan keadaan kelas berselerak.
“Saya percaya pihak pengurusan FELDA boleh mengambil tindakan secepat mungkin, selepas melihat keadaan di kawasan sekitar TADIKA.. perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan berterusan hingga mengganggu tumpuan anak-anak kita yang belajar di situ,” katanya.