BUKA SEMULA TAMAN NEGARA
JERANTUT : Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan bersama lapan persatuan serta satu wakil suku kaum membantah penutupan Taman Negara Kuala Tahan kepada pengunjung yang boleh memberi kesan besar kepada sumber pendapatan pemain industri dan sektor pelancongan negara.
Surat bantahan itu ditanda tangani oleh Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara, Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara, Persatuan Pengusaha Bot Taman Negara dan Kelab Pencinta Burung Taman Negara.
Surat itu turut disokong oleh Wakil Pengusaha Bot Pelancong Sungai Tembeling, Wakil Pengusaha Restoren dan Rakit Terapung, Wakil Pengusaha Bot Pelancongan Sungai Tembeling, Wakil Agensi Pelancongan dan Pengembaraan, Wakil Pengusaha Penginapan dan Wakil Suku Kaum Bateq.
Wakil Agensi Pelancongan dan Pengambaran, Rasdan Salleh berkata, Taman Negara Kuala Tahan pernah ditutup bermula pada 18 Mac yang lalu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytihar oleh kerajaan dan mula beroperasi semula pada 15 Jun seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Setelah dibuka semula Julai lalu, pengunjung mula datang dan aktiviti pelancongan berjalan rancak dan lancar khususnya di hujung minggu dan memberi kelegaan serta dapat membantu kehidupan kami.
“Kami mula perhebatkan promosi kehadiran pelancong agar memberi pendapatan sebagai persiapan musim tengkujuh yang bakal berlaku di penghujung bulan November dan Disember, kami terkejut tiba-tiba hadir notis penutupan ini,”katanya.
Persatuan Pengusaha Bot Taman Negara, Fredauz Yusri Mat Yunus berkata, penutupan ini bakal memberi kesan kepada mereka setelah moratorium pinjaman berakhir pada bulan September lalu, selain itu pihaknya perlu membayar gaji pekerja dan pelbagai bayaran bulanan yang perlu dilunaskan.
“Oleh itu, kami berharap pihak kerajaan dapat menyelesaikan kemelut ini dengan menarik balik notis penutupan agar pemain industri ini tidak gulung tikar dan kami akan akan sentiasa menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) demi kepentingan semua pihak sekiranya notis penutupan ini ditarik.
“Segala arahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak agensi kerajaan yang lain sewajarnya diselaraskan serta dibawa ke meja perundingan bersama dengan pemain industri ini,”katanya.
Katanya, memorandum bantahan itu akan dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan salinan kepada Menteri Besar Pahang, Exco Pelancongan Negeri Pahang dan Ahli Parlimen Jerantut.