Moh Sahur 2025’ Meriah, 30 Keluarga Terima Sumbangan
‘Moh Sahur 2025’ Meriah, 30 Keluarga Terima Sumbangan
BENTONG – Sebanyak 30 keluarga terpilih menerima sumbangan makanan menerusi program ‘Moh Sahur 2025’ yang berlangsung di sekitar Pelangai, malam ini.
Program yang diadakan buat julung kalinya ini bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dengan menganjurkan aktiviti bersahur secara berjemaah serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut penganjur, sebanyak 12 pasukan telah digerakkan ke kampung-kampung sekitar untuk mengagihkan makanan kepada penerima yang telah dikenal pasti.
“Kami menerapkan konsep ‘Mangkuk Tingkat’ dalam agihan makanan kali ini. Setiap mangkuk berisi nasi dan lauk-pauk yang dimasak sendiri oleh wanita setempat. Ini menjadikannya lebih istimewa kerana menggunakan sentuhan air tangan mereka,” katanya.
Selain hidangan sahur, penerima juga menerima sumbangan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas, kurma serta bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka sepanjang Ramadan.
Program ini turut mendapat sokongan kerajaan Negeri Pahang yang menekankan konsep kebersamaan dalam masyarakat, selaras dengan ajaran Islam dan sunnah Rasulullah SAW.
Difahamkan, program ‘Moh Sahur 2025’ akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan dalam siri agihan seterusnya bagi memastikan lebih ramai keluarga yang memerlukan dapat menikmati manfaat ini.
Menurut penganjur lagi, Pelangai sememangnya sinonim dengan konsep ‘Mangkuk Tingkat’ kerana program ini telah dijalankan dalam skala kecil pada tahun sebelumnya.
“Tahun ini kami mahu melaksanakannya dalam skala lebih besar supaya lebih ramai penduduk dapat merasai manfaatnya,” katanya.
Penduduk yang menerima sumbangan turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas inisiatif ini yang sedikit sebanyak dapat membantu mereka menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna.-SAHIH