‘Moh Buru Baung Ekor Merah’ di Jerantut, hadiah lumayan menanti anda
‘Moh Buru Baung Ekor Merah’ di Jerantut, hadiah lumayan menanti anda
JERANTUT – Hadiah berjumlah RM7,800 ditawarkan kepada nelayan sungai dan penangkap ikan di negeri ini dan luar sekiranya dapat menangkap ikan pemangsa, iaitu ikan baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides) sempena pertandingan Moh Buru Baung Ekor Merah pada 3 September ini di Jerantut Feri di sini.
Pertandingan anjuran Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Jerantut dan Jabatan Perikanan Pahang juga bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini selama dua hari, iaitu bermula pada 3 September, jam 11 pagi dan berakhir 4 September ini, jam 1 tengah hari.
Penyelaras pertandingan, Rusdan Ramli berkata, pertandingan itu terbuka kepada nelayan sungai dan penangkap ikan di Pahang dan luar yang berminat untuk memperoleh hadiah lumayan yang ditawarkan oleh penganjur.
“Tujuan pertandingan ini antara lain untuk mengurangkan pembiakan ikan baung ekor merah yang merupakan ikan pemangsa yang mengancam ikan liar tempatan di Sungai Tembeling dan Sungai Pahang serta anak sungai di daerah ini.
“Pertandingan ini mendapat kebenaran Jabatan Perikanan Pahang dalam usaha menghapuskan ikan pemangsa berkenaan serta penguatkuasaan larangan menternak dan melepaskan spesies pemangsa dari luar di sungai utama di negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Rusdan, peserta cuma boleh menggunakan peralatan tangkapan yang dibenarkan oleh Jabatan Perikanan seperti joran, aran, jala, jaring yang lazimnya digunakan di perairan sungai dan melarang sama sekali penggunaan bom ikan dan mercun bola.
Katanya, penganjur memohon kaki pancing mematuhi peraturan yang hanya cuma menerima ikan baung ekor merah sahaja untuk diadili serta layak memenangi hadiah dalam pertandingan itu.
Katanya, peserta yang ingin menyertai boleh datang membuat pendaftaran pada 2 September (esok) mulai pukul 9 pagi dan akan diberitahu syarat pertandingan sebelum acara bermula pada pukul 11 pagi di Jerantut Ferry Water Front.
Kata Rusdan, selepas membuat pendaftaran, peserta boleh terus menangkap seberapa banyak ikan baung ekor merah di semua lokasi dalam jajaran sungai utama, iaitu Sungai Tembeling, Sungai Pahang dan anak sungai di daerah ini dengan menggunakan peralatan yang dibenarkan.
“Peserta perlu membawa hasil tangkapan semula ke tempat yang sama pada 4 September mulai jam 1 tengah hari untuk ditimbang beratnya bagi menentukan pemenang.
“Syarat utama, iaitu peserta dibenarkan membawa seberapa banyak hasil tangkapan ikan baung ekor merah dalam keadan masih hidup dan sempurna tubuh badan untuk ditimbang dan diadili pada hari terakhir pertandingan ini,” katanya.
Rusdan berkata, hadiah lumayan yang ditawarkan bergantung kepada berat dan kesempurnaan hasil tangkapan, iaitu hadiah pertama sebanyak RM3,000, kedua (RM1,500), ketiga (RM1,000) dan tujuh hadiah sagu hati bernilai RM300.
“Kita juga menawarkan hadiah tambahan bernilai RM2,000 kepada peserta yang dapat menangkap ikan baung ekor merah paling banyak semasa pertandingan ini,” katanya.
Sebarang pertanyaan atau maklumat mengenai pertandingan itu bolehlah menghubungi Rusdan Ramly di talian 019 7742770.-SAHIH.