MoA RM30 Juta Kukuhkan Kerjasama KOTEJA – Yunnan Huicheng
MoA RM30 Juta Kukuhkan Kerjasama KOTEJA – Yunnan Huicheng
TEMERLOH: Kerjasama antara Koperasi Teguh Jaya Temerloh (KOTEJA) Berhad dan Yunnan Huicheng Management Ent Co. Ltd dimuktamadkan hari ini melalui pemeteraian Memorandum of Agreement (MoA) bernilai kira-kira RM30 juta bagi melaksanakan projek penternakan dan feedlot secara berfasa.
Majlis menandatangani MoA itu disaksikan kepimpinan KOTEJA, delegasi Yunnan Huicheng serta ahli koperasi, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan penternakan berskala besar yang dijangka memberi impak ekonomi kepada masyarakat setempat.
Pengerusi KOTEJA, Abd Jamil Yaakob, berkata perjanjian berkenaan dimuktamadkan selepas beberapa siri perbincangan yang menilai keupayaan koperasi mengurus operasi penternakan moden serta komitmen jangka panjang untuk membangunkan sektor tersebut di Pahang.
“MoA ini membabitkan pelaburan RMB 50 juta atau kira-kira RM30 juta dan akan dilaksanakan dalam lima fasa sepanjang tempoh 30 tahun. Keyakinan pelabur antarabangsa terhadap koperasi tempatan menunjukkan KOTEJA memiliki kemampuan mengurus projek penternakan berskala besar,” katanya.
Menurutnya, KOTEJA akan menyediakan prasarana dan mengurus operasi projek penternakan itu, manakala Yunnan Huicheng menanggung sepenuhnya risiko pelaburan mengikut struktur kerjasama yang dipersetujui.
Beliau berkata, projek tersebut dijangka menjana peluang pekerjaan baharu, memperkukuh rantaian bekalan daging serta membuka ruang kepada penggunaan teknologi penternakan terkini bagi meningkatkan produktiviti.
Wakil rasmi Yunnan Huicheng, Lai Shiqi, yang juga Ahli Lembaga Pengarah (Board of Directors) syarikat berkenaan, berkata pihaknya memilih KOTEJA selepas menilai struktur pengurusan koperasi itu serta kesungguhan mereka membangunkan sektor penternakan secara sistematik dan mampan.

“Kami melihat struktur pengurusan KOTEJA yang kukuh dan kesungguhan mereka membangunkan sektor penternakan secara sistematik. Faktor ini menjadi asas kepada keyakinan kami untuk bekerjasama dalam projek jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, Pahang dilihat sebagai lokasi strategik untuk pembangunan penternakan moden yang menggabungkan teknologi baharu serta kaedah feedlot bersepadu yang mampu meningkatkan bekalan daging berkualiti.
KCheng menambah, hubungan kerja yang dibina bersama KOTEJA membuktikan potensi kerjasama ini untuk menjadi model rujukan projek penternakan berimpak tinggi di Malaysia.

Projek itu diyakini mampu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi mikro dan mengukuhkan kedudukan KOTEJA sebagai antara koperasi paling aktif dalam sektor penternakan di Pahang.-SAHIH
