MISI Latih Belia India Kembali Dengan Fokus Penempatan Kerja
MISI Latih Belia India Kembali Dengan Fokus Penempatan Kerja
TEMERLOH ,– Program latihan kemahiran jangka pendek di bawah inisiatif MISI Training, yang diperkenalkan sejak November tahun lalu, bakal memasuki fasa kedua dengan penekanan kepada penempatan kerja dan latihan bersijil yang lebih mendalam, khususnya untuk masyarakat India Malaysia.
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Sumber Manusia, Diccam Lourdes, berkata program yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu telah berjaya menganjurkan hampir 300 sesi latihan di seluruh negara, dari Perlis hingga Johor.
“Bermula bulan depan, MISI 2.0 akan dilancarkan dengan tumpuan kepada golongan lepasan SPM dan graduan yang sedang mencari pekerjaan. Latihan kali ini lebih komprehensif, ada yang berlangsung sehingga enam bulan, berbanding hanya lima hari dalam MISI 1.0.
“Latihan ini akan memberi peluang penempatan kerja serta-merta selepas tamat kursus, tertumpu kepada enam sektor utama seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa, ICT (termasuk keselamatan siber dan analisis data).
” katanya selepas menghadiri majlis penutup Program Latihan Baik Pulih Komputer Riba dan hari ini sahaja seramai 26 orang peserta menyertai program latihan baik pulih komputer riba yang diadakan di Mentakab,
Tambahnya, MISI 2.0 turut melibatkan kerjasama dengan pejabat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi hebahan dan pengumpulan peserta melalui jaringan komuniti setempat.
Menurut beliau, semua latihan di bawah MISI adalah sebahagian daripada inisiatif TVET dan diiktiraf oleh agensi seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Jabatan Tenaga Manusia (JTM).
“Untuk memastikan keberkesanan program, peserta wajib menerima tawaran kerja selepas tamat latihan. Kita tidak lagi mahu latihan tanpa hasil penempatan seperti sebelum ini,” tegasnya.
Sementara itu, salah seorang peserta, Samundy Arumugam, 20, yang merupakan bekas pelajar IT, menyifatkan kursus itu sangat berguna dan memberi keyakinan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memulakan perniagaan sendiri.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Sim Chon Siang, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang; Pn. Kanmani, Ketua Penyelaras MISI; dan Maheswaran Ramachandran, mantan Ketua Cabang PKR Temerloh.-SAHIH