MINYAK MASAK CUKUP DI PAHANG, PENGGUNA GUNA PILIHAN BERJIMAT
MINYAK MASAK CUKUP DI PAHANG, PENGGUNA GUNA PILIHAN BERJIMAT
KUANTAN : Pengguna tidak perlu keliru kerana kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi ditentukan oleh pasaran harga sawit termasuk kos pengilangan seperti pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit.
Walau begitu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang memberikan jaminan bekalan minyak masak mencukupi dan tiada masalah kekurangan bekalan di semua peringkat rantaian pengedaran.
Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Normaswari Nordin berkata, peruncit dibenarkan mengehadkan pembelian cuma tiga paket minyak masak seberat satu kilogram yang bersubsidi sahaja bagi setiap pelanggan untuk memastikan bekalan sentiasa ada dan mencukupi.
Katanya, terdapat dua jenis kategori minyak masak di pasaran negeri ini, iaitu minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi dan hanya minyak masak peket seberat satu kilogram sahaja yang dikategorikan sebagai bersubsidi dengan harga telah ditetapkan, iaitu RM2.50 seberat satu kilogram.
“Manakala minyak masak yang lain termasuk dalam kategori tidak bersubsidi yang telah dilaporkan oleh media berlaku kenaikan apabila peruncit menjual dengan pelbagai harga mengikut pasaran semasa.
“Pejabat Penguat kuasa KPDNHEP negeri telah menjalankan analisis ke atas pengkalan data harga dan siasatan lanjut ke atas semua rantaian pengedaran dan mendapati terdapat kenaikan harga di antara 16 hingga 24 peratus jenis serta jenama minyak masak tidak bersubsidi bermula pada suku keempat tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Normaswari, punca kenaikan minyak masak tidak bersubsidi disebabkan oleh harga minyak sawit yang lebih tinggi di peringkat pengilangan akibat kenaikan harga pasaran minyak sawit mentah (Crude Palm Oil) dunia.
“Kita menggalakkan pengguna boleh menjimatkan dengan berbelanja minyak sawit bersubsidi pek polibeg seberat satu kilogram berharga RM2.50 yang juga sama kualitinya dengan minyak sawit dalam botol,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Normaswari berkata, sehingga ini, penguat kuasa KPDNHEP negeri dibantu oleh pegawai Pegawai Pemantau Harga (PPH) sentiasa proaktif melakukan pemeriksaan serta pemantauan 85 buah premis perniagaan yang menjadi tumpuan awam.
“Sebanyak 307 buah premis di bawah Skim Premis Peruncit dan Skim Premis Pemborong kerap dipantau tahap keberadaan bekalan barang keperluan untuk pengguna termasuk minyak masak.
“Manakala, sepanjang tahun ini, Penguatkuasa KPDNHEP negeri hanya menerima dua aduan sahaja melibatkan harga dan bekalan bagi minyak masak,” katanya.
Selanjutnya, Normaswari menambah sepanjang tahun ini, KPDNHEP negeri telah menjalankan sebanyak 25,243 pemeriksaan ke atas premis perniagaan dan merekodkan 32 kes berkaitan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melibatkan nilai rampasan sebanyak RM128,870.45 dan kompaun sebanyak RM32,400.-SAHIH.