MINGGU YANG MENCEMASKAN
Berita Nasional/Kehidupan
MINGGU YANG MENCEMASKAN
JERANTUT: Pengalaman berdepan saat-saat mendebarkan selepas mendengar berita Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Keusahawanan, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang, Datuk Nazri Ngah didakwa positif COVID-19 minggu lepas, sangat berharga bagi Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud.
Beliau bersama rakan yang lain sebelum itu menyertai rombongan Datuk Nazri bersama pegawai dan kakitangan KPDNHEP Pahang dalam program di Kampung Mat Daling dan Kampung Bantal.
“Kami bersama ke Kampung Bantal dan (kampung) Mat Daling pada 27 dan 28 September lalu.
“Sebaik mendengar cerita kononnya Datuk Nazri positif COVID-19, memang kami risau dan seperti kehilangan punca memandangkan kami bersama dengan beliau sepanjang dua hari di sana,” katanya ketika dihubungi di sini, petang tadi.
Razak berkata, keputusan saringan kedua dijalankan kemudiannya mendapati Datuk Nazri bebas COVID-19 dan sangat melegakan mereka semua.
“Sebelum keluar keputusan ujian kedua, teruk kami dikecam dalam laman sosial Facebook… perkara ini sangat dikesali kerana ketika berita itu mula tersebar, ramai yang tidak tahu kisah sebenar.
“Sebab itulah kalau boleh kita janganlah dengar sebarang khabar angin… banyak sangat berita palsu disebarkan terutamanya dalam Facebook.
“Kalau boleh, check dulu bila dapat apa-apa berita… susah juga kalau kita terus percaya apa saja yang kita dengar,” katanya.