MICROSOFT SEDIA GANTI GOOGLE
MICROSOFT SEDIA GANTI GOOGLE
SYDNEY: Microsoft sedia mengambil alih jika Google melaksanakan ugutannya untuk menamatkan operasi di Australia berikutan kontroversi berhubung bayaran bagi kandungan berita digital, lapor media tempatan hari ini.
Kerajaan Australia memperkenalkan kod tawaran mandatori yang akan memaksa Facebook dan Google membayar kadar ditetapkan bagi kandungan berita media tempatan di paparkan di pentas digital dua gergasi media sosial itu.
Undang-undang baru itu antara lain mewajibkan Google dan Facebook membuat perjanjian komersial dengan agensi berita atau melakukan timbang tara wajib mengenai kadar bayaran jika mereka gagal bersetuju.
Kedua-dua firma teknologi internet Amerika Syarikat (AS) itu sebelum ini mengancam mahu menyekat perkhidmatan mereka di Australia jika undang-undang berkenaan dilaksanakan.
GAMBAR HIASAN
Minggu lalu, Pengarah Urusan Google Australia, Mel Silva, memberitahu Jawatankuasa Siasatan Parlimen bahawa syarikat itu akan menamatkan operasi enjin cariannya di Australia jika kod berkenaan menjadi sebahagian undang-undang.
Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella, pula sudah menghubungi Perdana Menteri, Scott Morrison, beberapa hari lalu untuk memberi jaminan bahawa enjin carian Microsoft, Bing, dapat menggantikan Google, lapor The Australian.
Difahamkan, Nadella berjaya meyakinkan bahawa Microsoft sudah bersedia dan mempunyai Pelan B manakala Bendahari, Josh Frydenberg, mengesahkan kerajaan Australia sedang mengadakan perbincangan dengan pengendali internet lain.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, juga sudah melobi Australia dengan menghubungi Frydenberg minggu lalu berhubung keputusan terbaru kerajaan Australia itu.
GAMBAR HIASAN
Frydenberg memberitahu ABC bahawa ia adalah perbincangan yang sangat membina namun Zuckerberg tidak dapat meyakinkannya untuk bertolak ansur.
“Saya tidak menolak ancaman yang dibuat tetapi saya juga tidak mudah tergugat dengan ugutan mereka.
“Apa yang saya tahu ialah syarikat media perlu dibayar untuk kandungan berita yang mereka sediakan.
“Dalam isu ini, sama ada membabitkan pembuli siber atau keganasan dalam kandungan internet, kami sedia bersemuka dengan gergasi digital ini,” katanya.
Facebook pula memberi amaran bahawa ia mungkin menyekat pengguna Australia daripada berkongsi berita tempatan di lamannya.
Pertembungan antara gergasi media sosial dan kerajaan Australia menjadi tumpuan dunia kerana bakal mencabar penguasaan mutlak pentas digital oleh syarikat tertentu.