MESYUARAT PENUBUHAN PN PAHANG 26 MAC INI
MESYUARAT PENUBUHAN PN PAHANG 26 MAC INI
PEKAN: Mesyuarat rasmi pertama membabitkan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS dan GERAKAN Pahang akan diadakan 26 Mac ini.
Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pemilihan tarikh itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada pimpinan PAS dan GERAKAN negeri susulan dua pertemuan tidak rasmi diadakan sebelum ini.
SAIFUDDIN ABDULLAH
“Pertemuan tidak rasmi bersama PAS dan GERAKAN sudah diadakan dua kali, termasuk hujung minggu lalu dan hasilnya sangat memberangsangkan dan berlangsung dengan baik.
“Jadi, kita harap mesyuarat dirancang pada 26 Mac ini dapat membuka jalan kepada penubuhan Perikatan Nasional (PN) di Pahang,” katanya, lapor Utusan Online.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program Malaysia Prihatian anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai ketiadaan wakil UMNO dalam mesyuarat itu, Saifuddin berkata, pertemuan itu hanya membincangkan perkara berkaitan gabungan antara BERSATU, PAS dan GERAKAN dan tidak membabitkan perkara di luar kawalan, termasuk kerjasama dengan UMNO.
“UMNO yang buat keputusan itu (untuk tidak bersama dengan BERSATU) dan kita faham apa yang berlaku dalam Muafakat Nasional (MN).
“Itu hak masing-masing dan kita mahu memperkukuhkan PN, terutamanya di Pahang,” katanya lagi.
Sementara itu ditanya mengenai kemungkinan PN akan menggantikan Barisan Nasional (BN), beliau berkata setiap gabungan parti politik mempunyai kelebihan dan juga persamaan, namun tidak bermakna gabungan berkenaan boleh menggantikan mana-mana gabungan lain.