MESIR TERIMA VAKSIN COVID-19
MESIR TERIMA VAKSIN COVID-19
KAHERAH: Mesir mengumumkan dos pertama vaksin COVID-19 yang dibangunkan firma farmaseutikal gergasi AstraZeneca, akan tiba hari ini.
Pihak berkuasa Mesir yang bertanggungjawab dalam perolehan farmasi mengumumkan, ketibaan kumpulan pertama vaksin AstraZeneca-Oxford, pada Ahad tanpa memperinci jumlah dos.
GAMBAR HIASAN
Pada minggu lalu, pegawai memaklumkan mereka menempah 20 juta dos seperti dilaporkan media negara itu.
Mesir, negara Arab yang memiliki penduduk paling ramai, iaitu kira-kira 100 juta orang merekodkan hampir 165,000 kes COVID-19, termasuk lebih 9,200 kematian.
Beberapa pegawai kesihatan mendakwa kadar jangkitan yang diumumkan di negara itu lebih rendah, berbanding angka sebenar.
Mesir mula memberi suntikan vaksin kepada petugas kesihatan menggunakan vaksin Sinopharm yang dibangunkan firma China, pada 24 Januari lalu.
Ia dos pertama yang diterima negara itu, pada Disember tahun lalu.
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Hala Zayed, berkata 1,315 petugas kesihatan menerima suntikan dos pertama.
GAMBAR HIASAN
Suntikan seterusnya akan dilakukan membabitkan warga emas dan individu menghidap kesihatan kronik.
AstraZeneca pada mulanya dipuji kerana pantas dalam penghasilan vaksin, namun dikritik pula selepas itu kerana berdepan kelewatan penghantaran ke negara Kesatuan Eropah (EU), susulan masalah pengeluaran.
Institut Robert Koch dari Jerman antara pakar yang mempersoal suntikan bagi golongan lebih 65 tahun, apabila mendakwa terdapat kelemahan dalam data ujian.