MENTAKAB HAMPIR LUMPUH
MENTAKAB HAMPIR LUMPUH
TEMERLOH: Bencana banjir melanda daerah ini disifatkan sangat luar jangka dan antara kawasan terjejas teruk ialah pekan Mentakab yang hampir lumpuh sepenuhnya.
Pekan paling sibuk dan membangun dalam daerah Temerloh itu, kini seolah-olah padang jarak apabila hampir semua premis perniagaan mengalami kerosakan hampir 100 peratus.
Bekalan makanan dan keperluan asas pula hampir habis apabila kebanyakan penduduk melakukan pembelian panik berikutan bimbang keadaan banjir bertambah buruk.
GAMBAR HIASAN
Seorang penduduk, P Ramamoorthy, 60 tahun berkata, situasi dihadapi kebanyakan penduduk di pekan Mentakab ketika ini hampir sama ketika kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
“Semua penduduk membeli pelbagai barangan untuk dijadikan stok kerana bimbang keadaan cuaca buruk berterusan untuk tempoh beberapa hari lagi.
PENDUDUK MENTAKAB, P RAMAMOORTHY
“Banyak barangan keperluan asas sudah habis dan menurut peniaga, mereka berdepan masalah untuk mendapatkan stok baru kerana masalah logistik memandangkan masih banyak laluan yang tidak boleh dilalui,” katanya.
Sementara itu, ahli dewan undangan negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan berkata, suasana pekan Mentakab ketika ini seperti pekan mati kerana tidak ada sebarang aktiviti dijalankan selepas jam 7 malam.
ADUN MENTAKAB, WOO CHEE WAN
“Banjir kali ini lebih teruk berbanding apa yang berlaku pada tahun 2014.. semua kedai tidak dibuka pada waktu malam.. betul-betul macam pekan hantu.
“Kebimbangan penduduk bukan sahaja kerana banjir, tapi masalah COVID-19 yang masih belum ada kesudahan juga mengakibatkan mereka takut untuk keluar,” katanya.