MENGENANG 13 TAHUN PEMERGIAN NURIN JAZLIN
MENGENANG 13 TAHUN PEMERGIAN NURIN JAZLIN
Tanpa kita sedar, sudah 13 tahun arwah Nurin Jazlin Jazimin yang dibunuh dengan kejam ketika berusia 8 tahun, pergi meninggalkan keluarganya.
Kes kematiannya sangat menggemparkan negara apabila mayat arwah Nurin Jazlin ditemui dalam sebuah beg pakaian dengan beberapa kesan kecederaan, dipercayai akibat didera secara seksual oleh individu tak berhati perut.
Sehingga kini, suspek utama kes itu masih gagal diberkas.
Tahukah anda bahawa hari ini, arwah Nurin Jazlin genap berusia 21 tahun, sekiranya dia masih hidup.
Bapa kepada arwah Nurin Jazlin memuat naik beberapa gambar ketika menziarahi pusara anak kesayangannya itu bersama coretan bersempena hari lahir ke-21 arwah.
Berdasarkan coretan itu, Jazimin menzahirkan rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana meminjamkan arwah Nurin Jazlin kepada mereka sekeluarga, walaupun hanya untuk seketika sebelum arwah kembali kepada Pencipta pada tahun 2007.
Dia juga mengucapkan selamat hari lahir ke-21 buat puterinya itu, sambil dilihat menziarahi pusara arwah.
“11 September 1999 jam 6.30am lahir (arwah) Nurin Jazlin ke dunia… dipinjam hanya sementara & meninggalkan keluarganya di dunia (untuk) selama-lamanya pada 17 September 2007, selamat ulang tahun ke-21 tahun kak ngah
Al-fatihah dibaca……….”
Perkongsian berkenaan menarik perhatian netizen yang turut meninggalkan komen dengan mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan ada antara netizen melahirkan rasa sedih dengan kisah malang yang menimpa arwah Nurin Jazlin, 13 tahun lalu.
Mereka (netizen) berharap agar penjenayah yang melakukan kekejaman itu mendapat balasan setimpal dengan apa yang dilakukan terhadap arwah.
“Masih teringat lagi kes yang sangat kejam… takziah buat tuan sekeluarga,”
Sumber: Jazimin AOM