Mengapa lagu Pelukan Angkasa dipilih AJL ke-36
Mengapa lagu Pelukan Angkasa dipilih AJK ke-36
Barisan juri Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 memilih Pelukan Angkasa yang disampaikan oleh SOG x Shila Amzah sebagai lagu terbaik kali ini kerana dilihat mempunyai naskah yang segar dan mempunyai kelainan di kalangan 12 lagu yang lain.
Lagu tersebut menumpaskan enam lagu balada, 2 lagu etnik tradisional dan hip-hop yang berentap untuk dinobatkan sebagai juara malam semalam.
Ketua juri AJL Ke-36, Datuk Mokhzani Ismail berkata, Pelukan Angkasa datang dengan satu naskah yang begitu segar seterusnya terdapat kelainan dalam garapan muziknya.
Tambahnya , Pelukan Angkasa datang dengan satu pakej yang lengkap dengan sebuah kumpulan muzik yang berbakat dan berilmiah, hadir bersama sebuah lagu yang baik.
“Pelbagai sudut dilihat dalam lagu tersebut yang telah memenuhi kriteria penjurian, segar, citrarasa moden dan etnik dengan bahagian korus yang dapat mengumpan dan ‘memerangkap’ pendengar bagai terngiang-ngiang di telinga.
“AJL satu pentas yang secara tidak langsung terus membentuk dan mengangkat martabat industri muzik tanah air ke satu peringkat yang lebih tinggi serta yang membanggakan dengan kehadiran pencipta dan penulis lirik yang semakin bermutu,” katanya.
Mokhzani berkata, setiap lagu yang dicipta perlu seimbang dalam semua elemen, kekuatan lagu perlu ada pada melodi dan lirik, kalau kekurangan salah satunya dan tidak saling menyokong sewajarnya lagu tersebut tidak boleh diangkat sebagai pemenang.
“Bila sebut lagu ia merangkumi lirik dan gubahan muzik atau kreativiti dalam olahan muziknya menjadikan lagu tersebut menarik dan disokong oleh penyanyi dan persembahan yang bagus.
“Saya tidak nafikan lagu-lagu lain juga tidak kurang hebat dan datang dengan pelbagai genre dan rentak, cuma mempunyai unsur ‘cliché’ yang sudah menjadi kebiasaan dalam lagu-lagu balada dan tidak boleh lari dari kegemaran awam dan masih tetap menambat pendengar,” katanya ketika dihubungi SAHIH.
Katanya, lagu yang sudah ada dalam ‘market’ dinilai oleh orang awam, manakala pendengaran juri mengupas dari semua kriteria, lagu yang original dan olahan kreativiti susunan muzik dan jangan bandingkan antara ‘orchestration’ dengan susunan muzik biasa jika ia sesuai dengan lagu, maka juri juga berlaku adil dalam penjurian dan penilaian.
“Ada juga lagu terlebih berkualiti dan kesannya kepada penerimaan dari sudut nilai komersilnya masih kurang dan tidak memberi maknanya dalam pasaran.
“Kita jangan terpegun dengan panyanyi, yang dinilai lagu bukan penyanyi, kadang-kadang penyanyi bagus tapi lagu yang dibawa melodinya hanya biasa sahaja, namun, tidak dinafikan saling sokong menyokong,” katanya.-SAHIH.