Mengamuk Tikam Dua, Lelaki Maut Dibelasah Jiran Sekampung
Mengamuk Tikam Dua, Lelaki Maut Dibelasah Jiran Sekampung
MARAN: Kejadian berdarah tercetus di Felda Jengka 2 pagi tadi, apabila seorang lelaki tiba-tiba mengamuk dan menikam dua penghuni rumah sebelum maut dipercayai dibelasah oleh jiran.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, suspek 57 tahun dikatakan bertindak agresif dan menikam seorang wanita dan remaja lelaki menggunakan sebilah pisau selepas berlakunya pertengkaran.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita memaklumkan kejadian pergaduhan di rumah Felda Jengka 2.
“Siasatan awal mendapati suspek menyerang dua mangsa, masing-masing berusia 52 dan 16 tahun. Wanita itu mengalami kecederaan di perut, tangan dan dagu, manakala remaja lelaki mengalami tikaman di paha kanan.
“Kedua-dua mangsa kini dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Temerloh,” katanya.
Tambah Wong, kejadian itu disedari orang kampung yang bertindak menahan dan mengikat kaki serta tangan suspek bagi mengelakkannya terus mengganas.
Namun, ketika pasukan polis dan perubatan tiba, suspek sudah tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan dari Hospital Jengka.
Mayat suspek dihantar ke Hospital Kuantan untuk bedah siasat, manakala empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergelutan telah ditahan dan akan direman hari ini bagi membantu siasatan.-SAHIH