MENANG BERSAMA BUAH TANGAN TERAKHIR DATUK MOKHZANI SEBELUM BERSARA
MENANG BERSAMA BUAH TANGAN TERAKHIR DATUK MOKHZANI SEBELUM BERSARA
Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail sudah sinonim dengan penciptaan lagu-lagu tema hari kebangsaan, selain daripada Datuk Johari Salleh, Akbar Nawab,Tony Fonseka, Alfonso Soliano , Nazri Ahmad, Allahyarham Pak Ngah dan Siso Kopratasa.
Beliau yang pernah mencipta lagu tema hari kebangsaan seperti lagu Bersatu Menuju Wawasan, Negara Kita Tanggung Jawab Kita dan Menuju Alaf Baru yang menjadi tema lagu merdeka sekitar tahun 1990-an
Selain itu, beliau pernah bekerjasama dengan Siso untuk menzahirkan lagu Cemerlang Gemilang Terbilang semasa era Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ketika sebagai pengerusi lagu tema kemerdekaan mulai dari tahun 2000, lagu lagu Merdeka yang terbaik turut dihasilkan oleh arwah Pak Ngah (Suhaimi Mohd Zain) dan Siso seperti Kerana mu Malaysia dan Jalur Gemilang
Pada tahun 2006, sekali lagi beliau turut bertanggungjawab membawa lagu-lagu tema kemerdekaan bersifat komersil untuk pendengaran khalayak ramai seperti Sehati Sejiwa ciptaan Yuri dan lirik oleh Siso dan dinyanyikan oleh Alif Satar serta Di sini Lahirnya Sebuah Cinta ciptaan Sharon Paul, lirik oleh Ahmad Fitri Yahaya dan nyanyian Bob.
Pada tahun 2020, ketika negara mengalami pandemik Covid-19, tidak menghalang beliau terus berkarya, buat julung kalinya lagu tema hari kebangsaan berjudul Malaysia Prihatin mencatat sejarah negara dengan sentuhan muzik simfoni.
Ternyata percaturannya menggabungkan tiga orkestra Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO), Orkestra RTM dan Orkestra Simfoni Kebangsaan telah membawa lagu ciptaan beliau itu berada di kelas dunia
Lagu ciptaan dan gubahannya berjudul Malaysia Prihatin dengan kerjasama penulis lirik El Sol Akhmad dan dinyanyikan oleh Ernie Zakry ternyata membuahkan hasil yang hebat dan mendapat pengiktirafan dari Sky Run video serta juga komen positif dari pengkritik muzik antarabangsa.
Seperti penjawat awam yang lain, beliau akan bersara wajib pada bulan Februari 2022 selepas lebih 29 tahun bersama Orkestra RTM. Selain itu beliau juga sering menghiasi pentas-pentas juri seperti Anugerah Juara Lagu dan Gegar Vaganza.
Mokhzani turut mendapat pengiktirafan sebagai duta piano Hagspiel Di China serta beliau turut dianugerah Icon Brand Laureates dan memegang dua Malaysia Book of Records, iaitu The first Malaysian musician to be appointed as international brand dan The First Malaysian to Perform Live Music from the Great Wall of China
Anak jati Perlis itu menyatakan, sentuhan Menang Bersama sebagai masterpiece kali ini adalah yang terakhir sebagai pengerusi lagu tema sebelum menyerahkan baton pada pengganti.
“Lagu tema hari kebangsaan 2021, Menang Bersama ciptaan saya dan lirik Siso sekali lagi menjadi masterpiece lagu merdeka. Walaupun begitu kali ini ianya lebih santai dan bersifat mesra pendengar dan lebih mudah dinyanyikan,” katanya.
Menang Bersama
Sekali genggam
Semangat tidak bergoyang
Teguhkan ikatan
yang tersimpul sekian lama
Gunung didaki
Ke lurah dituruni
Sederap melangkah gagah
Seiring bersatu
Kita jalin tekad berpadu
(Korus)
Menang bersama
Demi negara
Hargai pengorbanan
Di Barisan hadapan
Menang bersama
Demi negara
Mari kita kibarkan
Dengan gagah panji kemenangan
Lagu Dato Mokhzani
Lirik Siso
Penyanyi Faizal Tahir dan Gemersik Korus
“Liriknya mengajak rakyat bersatu hati untuk sama melangkah ke arah mengharungi detik sukar. Dengaq semangat yang jitu pasti kita mampu mencipta kejayaan dan bersama mengibarkan bendera kemenangan.
“Semoga lagu tema tahun ini Menang Bersama dapat menyemaikan semangat kekitaan dan harmoni yang telah terjalin sejak sekian lama antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.-SAHIH.