“Melampau! Akhbar tempatan dikecam paparkan bendera Malaysia tanpa bulan sabit”
“Melampau! Akhbar tempatan dikecam paparkan bendera Malaysia tanpa bulan sabit”
KUALA LUMPUR – Tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina, , yang didakwa menyiarkan imej bendera Malaysia tanpa lambang bulan sabit di muka depan terbitannya pada 15 April lalu mengundang kemarahan netizen.
Gambar yang tular di media sosial itu menunjukkan paparan muka hadapan akhbar berkenaan dengan imej dua bendera – Jalur Gemilang dan bendera China – namun Jalur Gemilang kelihatan tanpa bulan sabit berwarna kuning, yang menjadi simbol penting dalam bendera Malaysia.
Rata-rata warganet meluahkan rasa tidak puas hati, malah ada yang mendesak supaya laporan polis segera dibuat terhadap pihak penerbit kerana dianggap tidak sensitif terhadap lambang negara.
“Ini kesalahan berat! Takkan tiada seorang pun perasan bendera Malaysia salah? Ia seolah-olah menghina simbol agama dan institusi Raja-Raja Melayu,” tegas seorang pengguna Facebook.
Bulan sabit dalam bendera Malaysia membawa maksud Islam sebagai agama Persekutuan, manakala bintang pecah 14 melambangkan perpaduan 13 negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Setakat ini, pihak akhbar itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.-SAHIH