Media tempatan diperkasa dana inovasi fasa pertama
Media tempatan diperkasa dana inovasi fasa pertama
PUTRAJAYA – Seramai 34 organisasi media terpilih menerima Dana Inovasi Media Fasa 1 daripada keseluruhan 50 yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan (JAPEN), sebagai usaha memperkukuh keupayaan industri itu menghadapi cabaran digital.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata dana berkenaan berperanan sebagai pemangkin inovasi bagi meningkatkan daya saing organisasi media tempatan.
Menurutnya, industri media kini berdepan perubahan pesat susulan perkembangan teknologi digital serta perubahan cara masyarakat mendapatkan maklumat.
“Selain itu, model perniagaan media tradisional turut berdepan tekanan yang memerlukan organisasi dan pengamal media menyesuaikan diri dengan pantas,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Inovasi Media Fasa 1, di sini, semalam.
Katanya, organisasi media perlu terus berinovasi dan memanfaatkan teknologi terkini bagi memastikan kandungan yang dihasilkan kekal relevan, berkualiti serta dipercayai.
“Dana ini juga bertujuan memperkasa organisasi media untuk meneroka pendekatan baharu dalam penghasilan dan penyampaian kandungan, selain memperkukuh keupayaan mereka dalam landskap media yang semakin mencabar,” katanya.
Menurutnya, pembiayaan dana itu merangkumi empat skop utama, iaitu latihan pekerja media, perisian serta adaptasi teknologi, penyediaan peralatan dan kemudahan sokongan, serta penyelidikan dan pembangunan kandungan.-SAHIH
