Media sosial perlu agresif menyampaikan mesej secara menyeluruh
Media sosial perlu agresif menyampaikan mesej secara menyeluruh
KUANTAN – Peranan media sosial kini semakin diperlukan dalam menentukan sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang, khususnya dalam usaha menyampaikan mesej politik secara menyeluruh.
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keupayaan jentera media ketika ini masih belum mencapai tahap memuaskan apabila kadar capaian dan interaksi dilihat rendah berbanding potensi sebenar.
“Secara purata, setiap hantaran hanya menerima ratusan tanda suka, sedangkan jika mesej benar-benar berkesan, capaian boleh mencecah ribuan.
“Situasi ini menunjukkan media sosial alternatif masih gagal menembusi sasaran sebenar pengundi walaupun pelbagai program telah dilaksanakan dan dikongsi di platform digital,” katanya ketika berucap dalam satu program bersama penggiat media.
Katanya, media sosial menjadi medium utama dan berkesan kerana ahli politik tidak mampu bertemu secara bersemuka dengan semua pengundi yang dianggarkan mencecah jutaan orang.
“Jika kita bergantung kepada cara lama, mustahil dapat bertemu semua pihak. Sebab itu media sosial penting bagi memastikan mesej sampai.
“Semua pihak tidak berada dalam zon selesa atau ‘syok sendiri’, sebaliknya membuat penilaian jujur terhadap keberkesanan setiap hantaran,” katanya.
Tambahnya, sikap sambil lewa termasuk kurang penglibatan dalam siaran langsung dan perkongsian kandungan perlu diubah bagi meningkatkan interaksi dengan masyarakat.
“Kadang-kadang kita sendiri tidak aktif, tetapi mengharapkan sokongan tinggi. Perkara ini perlu diperbaiki segera,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua yang terlibat supaya lebih berdisiplin, konsisten dan kreatif dalam mengurus kandungan media sosial, selain memastikan setiap mesej benar-benar memberi impak kepada sasaran.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.-SAHIH.
