MEDIA PEMAIN PERANAN UTAMA PERPADUAN NEGARA – YB LEONG YU MAN
MEDIA PEMAIN PERANAN UTAMA PERPADUAN NEGARA – YB LEONG YU MAN
KUANTAN – Media memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan perpaduan di negara ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man.
Dalam majlis ramah mesra dan iftar bersama wakil media di Hyatt Regency Kuantan hari ini, beliau menegaskan bahawa media bukan sekadar penyampai maklumat tetapi turut membentuk persepsi rakyat terhadap perpaduan.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pahang, Amira Abdullah.
“Malaysia adalah negara berbilang kaum, agama dan budaya. Keunikan ini aset negara yang perlu kita pelihara bersama. Media berperanan besar dalam menyebarkan naratif positif mengenai perpaduan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan cabaran era digital yang dipenuhi berita-berita tidak sahih yang boleh menggugat keharmonian masyarakat. Oleh itu, hubungan erat antara portfolio perpaduan dan media perlu diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan negara.
Dalam usaha memastikan perpaduan terus utuh, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pahang telah merangka pelbagai program sepanjang tahun ini.
Antara program utama adalah Sambutan Minggu Perpaduan 2024, yang menjadi platform tahunan untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Selain itu, Pahang Family Day dan Unity Campfire turut mendapat perhatian, dengan penyertaan murid-murid dari pelbagai kaum bagi menggalakkan interaksi sosial dan kesedaran kepentingan perpaduan sejak usia muda.
Satu lagi program yang menarik perhatian ialah Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan, yang bukan sekadar tradisi Ramadan tetapi menjadi simbol kemuafakatan rakyat Malaysia.
Menurut YB Leong, program-program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara kaum tetapi juga memupuk semangat gotong-royong serta kekitaan dalam masyarakat majmuk.
“Dengan usaha berterusan dan kerjasama media, kita yakin perpaduan akan terus diperkukuh demi kestabilan dan kesejahteraan negara,” tambahnya.-SAHIH