MBS WORLD SELAMAT, BEBAS COVID-19
KUANTAN: Pihak pengurusan MBS World menafikan premis kendalian mereka dikunjungi seorang pelanggan yang disahkan positif COVID-19.
Pengarah Urusan MBS World, Albert Leong berkata, pihaknya sudah menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sebaik sahaja berita mengenai perkara itu tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.
“Dakwaan kononnya premis kami dikunjungi pelanggan berkenaan adalah tidak benar… kami sudah berhubung dengan pihak PKD Kuantan dan mereka mengesahkan pelanggan terbabit bukan dalam kategori berisiko tinggi untuk menyebarkan COVID-19.
“Pelanggan terbabit dan anaknya ada memasuki premis kami, tetapi suami pelanggan itu hanya menunggu di dalam kenderaan… ujian swab test dijalankan terhadap kedua-duanya menunjukkan mereka negatif,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak MBS World sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan proses sanitasi secara berterusan di premis mereka.
Katanya, premis terbabit disanitasi dua kali sehari, pada sebelah pagi sebelum dibuka kepada pelanggan dan sebelah malam.
“Proses sanitasi ini adalah hasil inisiatif kami bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pelanggan.
“Selain itu, MBS World juga mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara… kami memberi jaminan bahawa premis kami adalah selamat untuk dikunjungi dan tidak ada masalah seperti didakwa pihak tertentu,” katanya.
Kira-kira seminggu lalu, terdapat khabar angin kononnya premis MBS World di Jalan Tanah Putih pernah dikunjungi pelanggan yang positif COVID-19.
Perkara itu bagaimanapun disahkan tidak benar dan penafian mengenai berita palsu itu sudah dibuat pihak pengurusan MBS World, awal minggu ini.