MBS CADANG UNDI 18 DILAKSANA SECARA MANUAL
MBS CADANG UNDI 18 DILAKSANA SECARA MANUAL
SHAH ALAM – Majlis Belia Negeri Selangor (MBS) mencadangkan agar kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dilakukan dengan pendaftaran pemilih secara manual tanpa menunggu pendaftaran automatik yang dijangka dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Ketua Penerangannya, Khairul Anwar Ahmad Nadzer berkata, pendaftaran secara manual dan automatik itu merupakan dua elemen berbeza sama ada dari segi perundangan mahupun implementasi.
Menurutnya, sekiranya pengundi berusia 21 tahun ke atas dibenarkan mendaftar secara manual, perkara sama juga boleh dilakukan terhadap pengundi berusia 18 tahun.
“Ini bermaksud pendaftaran pemilih adalah masih terbuka dan undi 18 boleh dilibatkan dalam pendaftaran secara manual ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Khairul Anwar berkata, meskipun pada asasnya MBS mengambil pendirian untuk menghormati keputusan tersebut, namun perkara itu melibatkan penyertaan belia dalam demokrasi berperlembagaan negara.
Beliau berkata, MBS memahami kekangan sedia ada yang dihadapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di dalam pengurusan pendaftaran automatik.
Katanya, SPR memerlukan satu teknologi sistem maklumat bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia dan lain-lain agensi berkaitan.
“Ini semestinya merupakan satu proses yang rumit memerlukan penelitian khusus dan masa yang panjang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, SPR harus memberikan status terkini dalam persiapan pendaftaran automatik dengan segera.
“MBS berpendapat ia adalah satu keganjilan apabila SPR sewenang-wenangnya mengumumkan penangguhan selama setahun iaitu sehingga September 2022, dan hanya akan mengeluarkan laporan interim berhubung perkara ini pada bulan September tahun ini,” katanya.
Khairul Anwar menegaskan, menerusi beberapa kenyataan media dan soalan lazim (FAQ) SPR, dijangkakan sistem pendaftaran automatik akan mengambil masa 24 ke 26 bulan untuk dilaksanakan serta menuntut SPR menjelaskan perkara tersebut.
“Ini bermaksud SPR mempunyai tempoh enam bulan lagi untuk membuat persediaan.
“Persoalannya mengapa pengumuman penangguhan dibuat dalam keadaan SPR masih mempunyai masa setengah tahun untuk membuat persediaan dan juga mengambil masa setengah tahun ini hanya untuk mengeluarkan satu laporan interim?
“Dalam apa jua keadaan, MBS juga berpendapat SPR dan kerajaan harus memulakan agenda pemerkasaan pendidikan pengundi dan pendidikan demokrasi dengan kadar segera,” katanya.
Menurutnya, agak mengecewakan apabila selepas hampir dua tahun Rang Undang-Undang diluluskan, agenda pemerkasaan pendidikan pengundi dan pendidikan demokrasi terutama dalam mendepani Undi18 adalah sangat lesu.
Sehubungan itu, beliau berkata, MBS sedia dilibatkan dalam usaha memberi pendidikan kepada belia sama ada dari sudut tanggungjawab mendaftar sebagai pemilih atau membantu pihak Akademi Pilihan Raya (APR) dalam aspek pendidikan pengundi.
“Adalah menjadi aspirasi majlis ini untuk melahirkan belia berprestasi unggul di samping terus memperkasa penglibatan belia dalam sistem demokrasi dan pentadbiran negara,” katanya.
Khamis lalu, Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh memaklumkan bahawa pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan, lapor Sinar Harian.
Abdul Ghani berkata, SPR harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.