MBM Bantah Cadangan Lanjut Umur Persaraan ke 65 Tahun
MBM Bantah Cadangan Lanjut Umur Persaraan ke 65 Tahun
KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menolak cadangan agar umur persaraan wajib dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun, seperti yang disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini.
Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, MBM mengambil maklum kenyataan menteri berkenaan namun berpandangan bahawa cadangan tersebut tidak sesuai dilaksanakan dalam konteks sosioekonomi semasa negara, khususnya melibatkan prospek pekerjaan golongan belia.
“Peningkatan had umur persaraan secara langsung mengurangkan kadar penggantian tenaga kerja dalam pasaran buruh, sekali gus mengecilkan peluang pekerjaan untuk generasi muda.
“Sebagai contoh, pelanjutan umur persaraan daripada 55 ke 60 tahun pada 2013 dikaitkan dengan kehilangan hampir sejuta peluang pekerjaan baharu kepada graduan dan pencari kerja muda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, Malaysia melahirkan lebih 300,000 graduan setiap tahun dan sebahagian besar daripada mereka masih bergelut mendapatkan pekerjaan tetap.
Jelasnya, beban kos juga menjadi isu apabila majikan swasta diwajibkan mencarum antara 12 hingga 13 peratus kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi setiap pekerja. Sekiranya umur persaraan dilanjutkan, beban tersebut akan berlarutan lebih lama kerana perlu menanggung pekerja yang lebih senior dan mahal dari segi kos gaji.
Tambah beliau, ini akan mengurangkan keupayaan syarikat untuk menggaji tenaga kerja baharu dalam kalangan anak muda yang lebih bertenaga dan produktif.
Mengulas lanjut, Mohd Izzat berkata kenyataan menteri berkenaan bersifat terlalu umum dan tidak mengambil kira realiti sebenar rakyat kebanyakan, terutama mereka yang bekerja dalam sektor bukan profesional.
“Tidak semua individu berumur 60 tahun ke atas berada dalam keadaan fizikal yang membolehkan mereka terus bekerja secara efektif.
“Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2021 menunjukkan satu daripada tiga individu berusia lebih 60 tahun menghadapi kekangan keupayaan fizikal, di samping peningkatan risiko penyakit kronik seperti diabetes dan masalah jantung,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar membincangkan keupayaan warga emas untuk terus bekerja, tetapi juga berkait rapat dengan soal keadilan ekonomi antara generasi.
“MBM percaya peralihan tenaga kerja antara generasi perlu diurus secara seimbang dan inklusif. Ia bukan isu memilih antara yang muda atau yang tua, tetapi bagaimana memastikan wujud dasar yang adil untuk menjamin keterjaminan ekonomi semua pihak, terutama generasi muda yang sedang membina kehidupan dan kerjaya,” katanya.-SAHIH