MB Pahang sumbang RM10,000 kepada rakyatnya yang koma di Korea Selatan
MB Pahang sumbang RM10,000 kepada rakyat Pahang yang koma di Korea Selatan
Foto atas: Datuk Nazri Ngah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada kepada anak sulung mangsa, hari ini
JERANTUT – Seorang rakyat Malaysia yang sedang koma di Hospital Besar Hyosung, Cheongju, Korea Selatan, Kamarulzaman Mohamed Fauzi@Jazuli, 50, telah mendapat perhatian kerajaan negeri Pahang.
Kamarulzaman yang berasal dari Kampung Batu Balai, dekat sini telah bekerja di negara itu sejak Oktober 2019 dan telah melakukan pelbagai pekerjaan sebelum bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang tisu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk membantu pesakit itu bagi meringankan bebanan membiayai kos perubatan dan rawatan di sana sejak minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar sangat cakna dengan masalah rakyat negeri ini yang di dalam musibah.
“Kamarulzaman dikatakan telah pengsan di kediamannya di sana dan terus dihantar ke hospital di situ disebabkan pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepala.
“Oleh itu kira-kira RM11,000 diperlukan bagi menampung kos perubatan sehari ketika dirawat di hospital itu dan dapat dilangsaikan melalui hasil kutipan dana daripada rakan-rakan senegara yang turut bekerja di sana,” katanya.
Penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Datuk Nazri yang mewakili Menteri Besar Pahang kepada Mohammad Zafifi di sini, hari ini.
Katanya, bagi menampung kos seterusnya, kerajaan memberi sumbangan untuk seorang waris iaitu anak sulungnya yang bakal melawat bapanya dalam masa terdekat.
“Diharap sumbangan ini dapat menampung kos tiket pergi dan balik anaknya ke sana untuk mengikuti perkembangan kesihatan bapanya,” katanya.
Pejabat Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah turut menyumbang sebanyak RM3,000 kepada wakil keluarga tersebut.
Sementara itu, anak sulung mangsa, Muhammad Zafifi Kamarulzaman berkata, dia menerima berita sedih itu menerusi kiriman WhatsApp oleh sepupu bapanya, Saloha Adlan, 27, yang juga bekerja di sana.
Katanya, dia sekeluarga diberitahu bapanya telah pengsan pada 8 malam waktu Korea Selatan dan dibantu oleh rakan serumah sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
“Selain itu, menerusi ujian saringan pada pagi itu, ayah turut positif Covid-19, lumpuh seluruh badan dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri.
“Saya sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy yang sedia membantu meringankan perbelanjaan kos rawatan dan pemergian saya ke sana,” katanya.
Katanya, keluarganya turut berterima kasih kepada penyumbang yang telah menyalurkan bantuan untuk meringan kos rawatan dan perubatan bapanya.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Muhammad Zafifi Kamarulzaman menerusi talian 014- 8101377 atau +821075318557 (Solehah di Korea Selatan) atau terus ke akaun Maybank bernombor 556-208-131-635.-SAHIH.