MB Pahang pandang serius isu mahasiswa didakwa hina Nabi, al-Quran
MB Pahang pandang serius isu mahasiswa didakwa hina Nabi, al-Quran
KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memandang serius isu membabitkan tindakan seorang mahasiswa di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan perbuatan menghina kemuliaan Nabi Muhammad SAW serta kesucian al-Quran.
Menurut Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, perbuatan sedemikian bukan sahaja amat mendukacitakan, malah lebih sensitif apabila didakwa berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.
Beliau berkata, sebarang tindakan atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mencetuskan ketegangan, menjejaskan keharmonian serta merosakkan asas perpaduan yang telah lama dibina dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Perkara seperti ini tidak wajar berlaku dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi di institusi pengajian tinggi yang sepatutnya menjadi medan membentuk pemikiran matang dan nilai hormat-menghormati,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan pengurusan UMPSA untuk menjalankan siasatan serta menguruskan kes berkenaan secara menyeluruh, telus dan berlandaskan undang-undang serta peraturan sedia ada.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda agar sentiasa berfikir panjang dan berhati-hati dalam setiap tindakan serta perkongsian, terutama di ruang awam dan media sosial.
Katanya, orang ramai perlu mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menggugat keharmonian, kestabilan dan perpaduan masyarakat.
“Marilah kita bersama-sama memelihara semangat saling menghormati, memahami perbezaan serta menjunjung nilai kesopanan dan toleransi demi kesejahteraan negeri Pahang dan negara tercinta,” ujarnya.-SAHIH
