MAYAT SANGKUT PUKAT
MAYAT SANGKUT PUKAT
SIMUNJAN: Lelaki yang hilang selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Batang Sadong di pangkalan feri Sungai Buloh, di Kampung Seruyuk, di sini, Khamis lalu, ditemukan lemas, hari ini.
Mayat mangsa, Jefri Ahmad, 30, ditemukan tersangkut pada pukat nelayan di sungai itu pada 12.51 tengah hari tadi.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke pengkalan feri Sungai Buloh sebelum diserahkan kepada polis.
Dalam kejadian jam 9 malam Khamis lalu itu, mangsa didakwa melarikan diri ke pengkalan feri itu selepas terbabit dalam pergaduhan.
Dia kemudian terjun ke dalam sungai dan cuba diselamatkan beberapa pemancing yang berada di pengkalan feri berkenaan, namun gagal.
GAMBAR IHSAN JBPM SARAWAK
Mangsa kemudian hilang dibawa arus dan kejadian itu dimaklumkan kepada pihak bomba pada 9.26 malam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada malam Khamis lalu namun keadaan gelap menyukarkan usaha pencarian, lapor BH Online.
Operasi kemudian diteruskan dengan bantuan polis dan penduduk kampung, sehingga mayat mangsa ditemukan, hari ini.